Teknologi 'remote sensing' angkasa tawar potensi inovasi ekonomi

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Teknologi 'remote sensing' atau penderiaan jauh angkasa yang memiliki kemampuan mengambil maklumat permukaan bumi dari ketinggian sekitar 500 hingga 600 kilometer di angkasa secara digital, berulang dan liputan kawasan yang luas menawarkan potensi dari aspek inovasi ekonomi dan kesejahteraan, menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

MYSA memaklumkan, aspek inovasi ekonomi melalui penggunaan teknologi penderiaan jauh dapat membekalkan maklumat lokasi penangkapan ikan secara tepat kepada sekitar 30,161 nelayan seluruh negara.

"Pengoperasian teknologi ini bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Jabatan Perikanan Malaysia ternyata mampu meningkatkan hasil tangkapan nelayan laut dalam hingga 50 peratus dan mengurangkan import ikan dari luar hingga 40 peratus,” menurut MYSA dalam kenyataan pada Khamis.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena lawatan kerja Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim ke MYSA serta perbincangan berkaitan peranan MYSA bersama Ketua Pengarahnya, Azlikamil Napiah pada Rabu.

MYSA memaklumkan, penerimagunaan teknologi penderiaan jauh angkasa dalam pengurusan tanaman padi di 12 jelapang padi seluruh negara bersama Jabatan Pertanian Malaysia telah dapat meningkatkan operasi pemantauan litupan kawasan tanaman hingga 100 peratus, mengurangkan 57 peratus tempoh masa pemantauan tanaman serta menjimatkan 30 peratus subsidi baja dan racun.

Menurut MYSA, pengoperasian itu melibatkan sekitar 37,916 pesawah dan turut meliputi kawasan jelapang padi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA) di Besut, Terengganu.

Dari aspek kesejahteraan, MYSA menyatakan, teknologi penderiaan jauh angkasa digunakan dalam pengurusan, pembangunan dan pemantauan perubahan litupan tanah secara sistematik khususnya di kawasan strategik.

"Selain meningkatkan kecekapan perancangan permohonan, pembukaan dan pembangunan tanah, teknologi ini juga mampu mengesan dan memantau sebarang aktiviti pembukaan tanah, hakisan pantai dan pencerobohan.

Artikel Berkaitan:

"Penggunaan teknologi ini juga mampu membantu pengurusan bencana seperti pengurusan dan perancangan kawalan banjir, mitigasi tanah runtuh, pemantauan pencemaran alam sekitar, pengesanan kebakaran terbuka dan pengurusan kawalan penyakit," menurut kenyataan itu.

MYSA memaklumkan, bagi mengoptimumkan lagi manfaat teknologi itu, sistem maklumat berteraskan teknologi penderiaan jauh angkasa sedang diperluaskan pembangunannya di Kuala Nerus dan Dungun di Terengganu.

Menurut MYSA, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui pihaknya telah mula memanfaatkan kelebihan teknologi penderiaan jauh angkasa sejak 2008 dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan dalam perancangan, pengurusan dan pemantauan di pelbagai sektor seperti pertanian, perikanan, perhutanan, sumber asli dan alam sekitar, ketenteraman awam serta keselamatan. - Bernama