Roket milik bilionair bawa empat orang awam keliling bumi

Roket milik syarikat SpaceX membawa empat orang awam yang akan mengelilingi bumi berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Florida. - Foto Reuters
Roket milik syarikat SpaceX membawa empat orang awam yang akan mengelilingi bumi berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Florida. - Foto Reuters
A
A
A

MIAMI - Roket milik syarikat SpaceX, Falcon 9 yang membawa empat pelancong angkasa lepas berlepas pada jam 8.02 malam Rabu dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Florida, Amerika Syarikat (AS).

Misi yang dibawa oleh syarikat tersebut ialah mengelilingi bumi dengan semua krunya terdiri daripada orang awam.

Kira-kira 12 minit selepas berlepas, kapsul Dragon berpisah dari roket tersebut dan mengelilingi orbit bumi.

Selepas tiga hari mengelilingi bumi, kapsul yang membawa empat orang awam itu akan mendarat di laut di luar pantai Florida.

Roket itu membawa seorang bilionair, Jared Isaacman, 38, bekas pesakit kanser, Hayley Arceneaux, 29, veteran Tentera Udara AS, Chris Sembroski, 42, dan Sian Proctor, 51, yang merupakan seorang ahli sains serta pendidik.

Arceneaux akan menjadi rakyat AS termuda mengelilingi bumi dan individu pertama berbuat demikian ketika memakai satu kaki palsu.

Proctor pula ialah wanita berketurunan Afrika Amerika yang keempat berjaya pergi ke angkasa lepas.

Sebelum pergi ke angkasa lepas, mereka mengikuti latihan selama enam bulan termasuk memanjat Gunung Rainer dan merasai pengalaman tanpa graviti ketika berada dalam penerbangan.

Artikel Berkaitan:

Misi ke angkasa lepas itu adalah untuk menyasarkan kutipan sebanyak AS$200 juta (RM831 juta) untuk Hospital Penyelidikan Kanak-Kanak St Jude di Tennessee, AS.

Arceneaux yang juga merupakan seorang wanita kini bekerja di hospital itu sebagai pembantu doktor bedah.

Dia juga pernah mendapatkan rawatan ketika zaman kanak-kanak di hospital yang sama kerana menghidap kanser tulang.

Pemilihan semua kru itu dibuat menerusi satu pertandingan dan mereka merupakan rakyat AS.

Roket Falcon 9 itu adalah milik syarikat SpaceX yang ditubuhkan oleh bilionair, Elon Musk, 50, yang dilahirkan di Afrika Selatan. - Agensi