Covid-19: Gangguan kutipan sampah dijangka selesai minggu ini

Rumaizi (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian program perkhidmatan sampah kebun dan pukal percuma di Jalan Wan Mohammaed Salleh, Greentown di Ipoh pada Khamis.
Rumaizi (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian program perkhidmatan sampah kebun dan pukal percuma di Jalan Wan Mohammaed Salleh, Greentown di Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Gangguan perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam yang berlaku di beberapa kawasan bandar raya Ipoh dijangka selesai dalam tempoh seminggu ini.

Gangguan tersebut berlaku disebabkan beberapa pekerja syarikat konsensi dikesan positif Covid-19 menyebabkan sebahagian besar pekerja perlu menjalani kuarantin.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin bagaimanapun berkata, penjadualan semula kutipan sampah telah dilakukan bersama syarikat konsensi LTC Alam Bersih Sdn Bhd dengan kekerapan dua kali seminggu bermula Isnin depan.

Bagi memastikan perkhidmatan yang efisien, beliau berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga akan menggunakan sebanyak 13 unit lori terbuka berkapasiti lapan tan untuk menjalankan tugas-tugas kutipan sampah sehingga masalah terbabit selesai.

"Setakat ini MBI telah memasang sebanyak 103 papan tanda dan edaran risalah jadual perkhidmatan kutipan sampah di seluruh bandar raya. Orang ramai boleh mendapatkannya dengan mengimbas kod QR yang tertera.

"Kerjasama daripada warga kota Ipoh adalah dipohon dalam keadaan pandemik Covid-19 ini supaya meletakkan sampah domestik di dalam tong sampah masing-masing bagi memudahkan proses kutipan sampah ini diuruskan sebaiknya," katanya pada pelancaran program perkhidmatan sampah kebun dan pukal percuma di Jalan Wan Mohammaed Salleh, Greentown di sini pada Khamis.

Rumaizi berkata, MBI telah membelanjakan lebih RM3.6 juta bagi menyediakan 23 unit lori terbuka berkapasiti lapan tan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik terhadap operasi kutipan sampah di bandar ini.

Menurutnya, 17 unit lori itu akan digunakan khusus untuk kutipan sampah kebun dan pukal, manakala enam lori lagi bagi mengatasi masalah sampah haram.

Artikel Berkaitan:

"Operasi perkhidmatan kutipan sampah kebun dan pukal ini akan bermula esok (Jumaat) mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu sebulan sekali di semua taman perumahan.

"Kita berharap dengan usaha dilakukan ini dapat membantu menyelesaikan segera masalah yang berlaku seterusnya membantu MBI merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh bandar terbersih di Malaysia pada tahun 2023," katanya.

Tambah beliau, warga kota Ipoh boleh menghubungi talian hotline MBI 05-2551515 atau WhatsApp 019-5503083 jika menghadapi sebarang masalah kutipan sampah dan pembersihan.