Tasik Kenyir terima lebih 4,000 pengunjung

Pembukaan lokasi tumpuan pelancong itu memberi peluang kepada penggiat ekonomi pelancongan untuk kembali bernafas. - Foto fail Bernama.
Pembukaan lokasi tumpuan pelancong itu memberi peluang kepada penggiat ekonomi pelancongan untuk kembali bernafas. - Foto fail Bernama.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seramai 4,582 orang mengunjungi Tasik Kenyir di Hulu Terengganu dalam tempoh 15 hari selepas kawasan pelancongan terkenal itu dibuka semula kepada orang ramai sejak 1 September lalu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris berkata, sambutan diterima amat menggalakkan, sekali gus memberikan impak positif kepada ekonomi penggiat pelancongan di sana.

Beliau bagaimanapun berkata, kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir dikawal mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan jumlahnya dijangka meningkat dari masa ke semasa.

“Pengusaha juga ada menawarkan pakej istimewa dan potongan harga lima hingga 15 peratus bergantung kepada jumlah hari tempahan, hujung minggu atau hari biasa kepada pengunjung orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar.

“Saya difahamkan, banyak tempahan sudah diterima pengusaha Tasik Kenyir sepanjang bulan September dan Oktober,” katanya di sini pada Khamis.

Razali berkata, ketika ini destinasi lawatan adalah terhad kerana kebanyakan lokasi utama seperti Taman Herba, Santuari Kelah dan Taman Negara masih ditutup berikutan Terengganu masih berada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, katanya, suasana dijangka lebih meriah selepas Terengganu beralih kepada Fasa Tiga PPN bermula Jumaat.

“Walaupun semua penggiat pelancongan Tasik Kenyir sudah lengkap menerima vaksin pada bulan lalu, saya berharap mereka kekal patuh kepada SOP. Begitu juga kepada pelancong yang bercuti di sana,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pengusaha pelancongan Tasik Kenyir sedia memulakan operasi bermula 1 September lalu apabila kesemua mereka sudah melepasi tempoh 14 hari menerima dos kedua vaksin pada 12 Ogos lalu.

Pembukaan lokasi tumpuan pelancong itu memberi peluang kepada penggiat ekonomi pelancongan untuk kembali bernafas.