WKB 2030 jadikan Malaysia sebuah negara membangun, aman dan stabil

A
A
A

No Image Caption

Kemakmuran secara definisi umumnya, membawa maksud keadaan yang berkembang, maju dan mempunyai status sosial yang berjaya.

Selain faktor ekonomi, kemakmuran juga merangkumi faktor-faktor lain seperti kebahagiaan hidup dan kualiti kesihatan.

Bagi sesebuah negara, rakyat mahukan kehidupan yang stabil, aman dan makmur. Rakyat mahukan sebuah negara yang menawarkan kehidupan lebih baik dan adil kepada semua golongan.

Dalam konteks Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) ini, Kemakmuran Bersama ditakrifkan sebagai satu iltizam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Ia bertujuan meningkatkan kemakmuran negara dan mengukuhkan kestabilan politik serta memastikan rakyat bersatu padu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa.Oleh itu, Malaysia membangunkan dasar WKB 2030 yang bermatlamat untuk menyediakan taraf hidup yang wajar (decent standard of living) kepada semua rakyat Malaysia pada tahun 2030 dengan memenuhi tiga komponen utama iaitu kewangan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan asas; kemampuan untuk menyertai aktiviti komuniti, kekeluargaan dan riadah sosial serta berkeupayaan untuk menjalani kehidupan yang bermakna dan bermaruah.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

KEMAKMURAN SOSIAL

Dalam realiti kehidupan manusia, mempunyai kewangan yang stabil sahaja masih belum cukup untuk dikatakan seseorang itu berasa makmur kerana masih ada faktor-faktor yang berkait dengan keadaan sosial seseorang yang mempengaruhi keadaan dirinya untuk berasa makmur.

Pandemik Covid-19 ternyata memberi kesan kepada rakyat bukan sahaja dari segi kesejahteraan hidup malah menjejaskan kesihatan.

Hasil kajian Firma Penyelidikan Pasaran, Ipsos Malaysia, mendapati ramai dalam kalangan rakyat bersetuju bahawa kunci kebahagiaan hidup adalah kesejahteraan fizikal serta tahap kesihatan yang baik.

Oleh yang demikian, WKB 2030 menyasarkan kemakmuran sosial ini melalui dua Teras Strategik utama iaitu Kesejahteraan Sosial dan Pembangunan Modal Sosial.

Kesejahteraan sosial adalah untuk memastikan kebajikan semua golongan masyarakat di negara ini dilindungi, terutama yang dikategorikan sebagai rentan ekonomi dan kumpulan isi rumah B40. Walaupun kadar kemiskinan negara berjaya dikurangkan daripada 16.5% pada tahun 1989 kepada 0.4% pada tahun 2016, tetapi masih terdapat poket kemiskinan perlu ditangani terutama dalam menghadapi pandemik Covid-19, yang ternyata meningkatkan jumlah golongan yang berada dalam kategori rentan dan miskin.

Kerajaan melalui pelbagai agensi telah membantu untuk mengurangkan kesan krisis pandemik Covid-19 kepada rakyat melalui bantuan tunai seperti Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Kehilangan Pendapatan serta bantuan bukan tunai seperti Bakul Makanan dan sebagainya. Pendekatan ini adalah bagi memastikan kesejahteraan sosial rakyat demi kemakmuran negara.

Manakala, pembangunan modal sosial pula menekankan kepada penglibatan rakyat dalam aktiviti kemasyarakatan seperti institusi berasaskan komuniti, persatuan kejiranan yang akan meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan rakyat dalam institusi masyarakat dan negara.

Kewujudan Organisasi Berasaskan Komuniti (OBK) amatlah digalakkan sebagai satu entiti yang memainkan peranan penting dalam membangunkan komuniti setempat menerusi penglibatan komuniti dalam menangani masalah setempat dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan hidup rakyat.

KEMAKMURAN EKONOMI

Petunjuk kejayaan yang digunakan oleh banyak negara membuktikan pembangunan ekonomi dapat diukur melalui sektor yang memberi sumbangan terbesar kepada pendapatan negara.

Pertumbuhan ekonomi berkait rapat dengan pendapatan per kapita. Sekiranya pendapatan per kapita meningkat, ia adalah hasil daripada kestabilan ekonomi dan secara tidak langsung kemakmuran dari segi ekonomi rakyat akan terjamin.

Berdasarkan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) pula, pembangunan potensi sesebuah negara dinilai berdasarkan sekiranya rakyat dapat mengakses hasil pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan dan pendapatan yang tinggi. Laporan Pembangunan Manusia 2020, menyatakan HDI negara mencatatkan skor 0.81 yang meletakkan Malaysia di tangga 62 daripada 189 negara dan wilayah yang terlibat.

Dalam konteks WKB 2030, impak kepada kemakmuran ekonomi disasarkan melalui Teras Strategik utama iaitu Ekosistem Perniagaan dan Industri.

Proses untuk menstruktur semula ekosistem perniagaan dan industri ini sebagai proses untuk mengimbangi semula secara saksama ekosistem perniagaan dengan meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar jurang teknologi antara PKS dan syarikat besar tempatan dapat dikecilkan. Kajian oleh SME Corp 2018, mendapati kadar penggunaan teknologi digital seperti Customer Resource Planning dan Enterprise Resource Planning masih rendah di kalangan PKS di mana masing-masing 12.5% dan 10.5%.

Kerajaan telah memperkenalkan dasar nasional mengenai Revolusi Industri Ke-empat (4IR) yang mana penekanan diberikan kepada PKS untuk mengadaptasi ekosistem perniagaan mereka kepada teknologi berasaskan digital dan Kerajaan akan menyediakan bantuan dari segi fasilitasi, insentif dan latihan menerusi pelbagai agensi sedia ada.

KEMAKMURAN DINIKMATI BERSAMA

Dalam menyelami semangat Keluarga Malaysia, pelaksanaan WKB 2030 adalah merupakan iltizam Kerajaan untuk melihat kekayaan negara dapat dikongsi secara adil, saksama dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat. Demi memastikan keberhasilan WKB 2030 ini, kerajaan telah menubuhkan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Shared Prosperity Delivery Unit) SEPADU, Jabatan Perdana Menteri sebagai agensi yang akan memantau dan menilai pencapaian objektif WKB 2030 ini. Seiring itu, kejayaan WKB 2030 ini memerlukan semua pihak berganding bahu dan berusaha lebih gigih untuk memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama.

No Image Caption

REAKSI RAKYAT

No Image Caption

“WKB 2030 adalah gagasan dan pelan jangka masa panjang bagi menyediakan taraf hidup yang wajar pada tahun 2030. Ini sangat relevan kerana melibatkan pembangunan untuk semua, menangani jurang pendapatan, negara makmur dan bermaruah.” - Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri.

No Image Caption

“Kemakmuran membawa maksud semua rakyat Malaysia berbilang kaum boleh tinggal bersama tanpa sebarang prejudis. Rakyat jangan bersangka buruk, kerajaan pula perlu ambil peduli dan sediakan platform untuk rakyat luahkan pendapat.” - Penulis Kandungan, Nor Azyan Shorlokman.

No Image Caption

“Kemakmuran secara bersama merupakan satu situasi di mana negara dapat mencapai tahap harmoni dalam semua aspek. Rakyat haruslah patuh dengan saranan yang ditetapkan oleh kerajaan. Pihak kerajaan juga perlulah mendengar suara rakyat.” - Pereka Grafik, Mohd Nazim Mohd Suhaimi.

No Image Caption

“Apabila rakyat bebas bergerak secara aman seperti boleh bekerja, berniaga, beriadah, membeli-belah dan anak-anak juga dapat bersekolah, itulah makna kemakmuran bagi kami. Untuk itu, kerajaan mesti pastikan negara selamat dan sejahtera.” - Suri Rumah, Sakinah Aminah Husin, 60

#MakmurBersama

#SharedProsperity

#KeluargaMalaysia

#MenangBersama