Hakisan tebing Sungai, penduduk orang asli bimbang

Hakisan tebing semakin teruk sejak tahun lalu.
Hakisan tebing semakin teruk sejak tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Hakisan tebing berhampiran Sungai Mas yang semakin parah meresahkan lebih 650 penduduk di perkampungan Orang Asli Sungai Mas di sini.

Penduduk mendakwa hakisan tebing itu sepanjang 100 meter itu mengancam keselamatan mereka.

Ia ekoran hakisan tebing sungai itu menyebabkan jalan yang menjadi laluan utama penduduk bersebelahan sungai berkenaan menjadi semakin sempit dan berbahaya untuk pengguna terutama pada waktu malam.

Difahamkan jalan terbabit adalah laluan utama ke empangan Chereh di sini, selain digunakan penduduk untuk ke ladang berhampiran dan keluar mencari hasil hutan serta memancing.

Tok Batin kampung terbabit, Deli Ramli Lam, 58, berkata, masalah hakisan semakin kritikal selepas berlakunya banjir sejak tahun lalu.

Menurutnya, disebabkan itu, pihaknya bimbang laluan yang semakin sempit itu boleh membahayakan pengguna jalan raya.

“Kalau ikutkan jarak tanah yang hilang akibat hakisan antara 40 hingga 50 meter sejak 10 tahun lalu. Tapi kini ia sudah menghakis jalan yang menjadi laluan utama penduduk.

“Malah, hakisan itu menyebabkan tebing sungai semakin tinggi iaitu antara 10 hingga 15 meter sekali gus boleh mengancam keselamatan pengguna jalan terbabit,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

100 meter hakisan tebing di Kampung Orang Asli Sungai Mas di Sungai Lembing.
100 meter hakisan tebing di Kampung Orang Asli Sungai Mas di Sungai Lembing.

Beliau menjelaskan, lebih 100 penduduk menggunakan laluan itu setiap hari untuk keluar bekerja di empangan dan ladang selain mereka yang keluar mencari hasil hutan.

Ujarnya, selain penduduk, orang luar juga menggunakan jalan berkenaan kerana Sungai Mas menjadi antara lokasi tumpuan untuk berkelah dan beriadah terutama pada hujung minggu serta cuti sekolah.

“Setakat ini, belum ada kemalangan berlaku di jalan ini akibat hakisan tebing ini.

"Namun kita berharap pihak berwajib dapat mencari jalan penyelesaian segera sebelum berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Mas, Abu Adin, 50, berkata, aduan mengenai perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib termasuk wakil rakyat.

Katanya, pihak berkenaan sudah turun padang melihat masalah terbabit.

"Saya difahamkan semua pihak seperti Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Md Shah dan pelbagai agensi telah turun padang melihat aduan ini.

"Jadi, saya harapkan ada tindakan segera bagi mengelak laluan ini terputus hubungan jika berlaku hujan lebat dan banjir," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berwajib dapat membuat papan tanda amaran dan meletakkan penghadang bagi mengelak kemalangan terutama kepada pengunjung luar.