X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Menanti kejutan Piala Malaysia

Kejuaraan Piala Malaysia edisi ke-100 tahun ini akan memulakan aksinya pada 25 September ini. (Gambar kecil: Azlan Johar)
A
A

PASUKAN bukan pilihan berpeluang untuk melakukan kejutan mara ke pusingan seterusnya dalam aksi Piala Malaysia yang bakal menyingkap tirainya pada 25 September ini.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, saingan Piala Malaysia adalah berbeza berbanding perlawanan liga dengan kesemua pasukan berpeluang untuk merebut slot ke peringkat suku akhir.

“Memang kalau kita tengok pasukan seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Terengganu FC dan Penang FC antara calon pilihan untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Tetapi, kita tidak boleh mengabaikan pasukan bukan pilihan yang lain contohnya seperti juara atau naib juara Liga Premier dan Sabah yang akan hadir dengan misi mereka tersendiri untuk mencipta kejutan dalam edisi kali ini.

“Malah, saya melihat peluang sentiasa terbuka kepada setiap pasukan dengan aksi mereka pada hari perlawanan yang akan menjadi penentu sejauh mana mereka mampu mara ke pusingan seterusnya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Kejuaraan Piala Malaysia yang masuk edisi ke-100 tahun ini kembali kepada format kumpulan dengan enam perlawanan akan dilalui setiap pasukan yang akan memulakan aksinya pada 25 September ini.

Saingan peringkat kumpulan akan berakhir pada 9 dan 10 November sebelum saingan suku akhir akan diadakan secara timbal balik pada 14 dan 18 November.

Aksi separuh akhir pada 22 dan 26 November juga secara timbal balik manakala perlawanan akhir bakal diadakan pada 30 November di venue berkecuali.

Dalam pada itu, Azlan mengharapkan saingan lebih menarik dapat disajikan oleh semua pasukan apatah lagi edisi kali ini boleh dikatakan sangat istimewa dengan Piala Malaysia menyambut ulang tahun ke-100 tahun ini.

“Tentulah saya mengharapkan ada kejutan daripada pasukan-pasukan lain. Apabila ada kejutan ia akan memeriahkan lagi suasana dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

“Apa yang penting saya nak tengok kemajuan pemain-pemain selain taktikal-taktikal jurulatih dalam memastikan pasukan mereka beraksi dengan cemerlang dan memperagakan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.

Kumpulan A

Penang FC, KL City FC, Sri Pahang FC, naib juara Liga Premier

Kumpulan B

Terengganu FC, Selangor FC, Perak FC, tempat ketiga Liga Premier

Kumpulan C

Kedah Darul Aman FC, Melaka United, juara Liga Premier, tempat kelima Liga Premier

Kumpulan D

Johor Darul Ta'zim, PJ City FC, Sabah FC, tempat keempat Liga Premier


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!