Kes Bella: GMK serah memorandum kepada Agong

Mona (kanan) bersama wakil GMK selepas selesai menyerahkan memorandum di Istana Negara pada Rabu.
Mona (kanan) bersama wakil GMK selepas selesai menyerahkan memorandum di Istana Negara pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan Menuntut Keadilan (GMK) untuk adik Bella menghantar satu memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mendapatkan sokongan Seri Paduka Baginda meminta pihak berkuasa menambahkan pertuduhan ke atas pihak terlibat dalam kes tersebut.

Wakil GMK, Mona Din berkata, tindakan itu merupakan kemuncak kepada segala usaha dilakukan pihaknya yang sebelum ini turut mengemukakan memorandum dan surat representasi kepada beberapa pihak berkuasa termasuk Peguam Negara dan Perdana Menteri.

Menurutnya, kandungan memorandum tersebut memiliki dua tuntutan iaitu pertambahan tuduhan penderaan ke atas tertuduh dan penarikan semula jaminan yang diberikan mahkamah terhadap tertuduh.

“Tindakan ini dibuat berdasarkan beberapa bukti terbaharu yang telah pun disampaikan kepada GMK.

“Ia termasuk bukti utama apabila salah seorang penghuni kondominium itu yang telah melarikan diri dan membuat laporan polis serta surat akuan bersama penjelasan sebanyak lapan muka surat bagaimana berlakunya kecederaan kepada adik Bella.

“Jadi dengan adanya saksi baharu ini termasuk laporan polis daripada lima orang yang pernah menjadi bekas penghuni Rumah Bonda yang turut menjadi saksi mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong di Pintu 3 Istana Negara, di sini pada Rabu.

Pada 20 Ogos lalu, Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas pertuduhan mengabaikan seorang remaja perempuan 'sindrom down' sehingga mengalami kecederaan pada Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang berusia 29 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas Rumah Bonda ambil tindakan undang-undang

Pengasas Rumah Bonda mengaku tidak bersalah abai kanak-kanak

Mona memaklumkan pihaknya telah memohon kepada pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara melalui penyerahan memorandum dan surat representasi untuk menambahkan atau meminda pertuduhan di bawah Seksyen yang sama iaitu penganiayaan berdasarkan maklumat baharu dan sedia ada.

Jelas Mona, setakat ini seramai lima orang bekas penghuni dari Rumah Bonda yang diasaskan oleh tertuduh telah membuat laporan polis dan menyatakan mereka menyaksikan sendiri penganiayaan yang dibuat ke atas mangsa di rumah perlindungan tersebut sekitar Julai hingga Oktober 2020.

Pada Julai lalu, kisah Bella tular di laman sosial selepas Mona mendedahkan penderitaan kanak-kanak itu yang mengalami kesan lecur dan luka pada anggota badan dipercayai didera.

Ekoran pendedahan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertindak menyita Rumah Bonda di Wangsa Maju di sini yang dikaitkan dengan kes terbabit.

Hak penjagaan individu yang sebelum ini diberi kebenaran untuk menjaga kanak-kanak itu dilucutkan serta-merta atas perintah mahkamah.

Mahkamah menetapkan 4 Oktober depan sebagai sebutan semula kes tersebut.