X

Kindly register in order to view this article
!

Pembinaan jambatan Penambang-Kampung Laut hujung tahun ini

Ketika ini Jambatan Sultan Yahya Petra menjadi salah satu penghubung utama antara bandar Kota Bharu dan Tumpat.
A
A

TUMPAT - Pembinaan jambatan yang menghubungkan Penambang di Kota Bharu dan Kampung Laut di sini kini berada di peringkat akhir proses penilaian dan pembinaan dijangka bermula selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Pengurus Besar (Bahagian Pelaksanaan Projek) Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Arizan Arifin berkata, tender pelaksanaan projek bernilai anggaran RM300 juta itu dijangka dibuka pada Oktober depan.

"Kami juga mendapat kerjasama baik daripada pihak kerajaan negeri berhubung pelaksanaan pembinaan jambatan itu terutama yang berkait rapat dengan urusan pengambilan tanah di lokasi berkenaan.

"Pembinaan jambatan empat lorong itu bukan hanya mampu menguraikan aliran trafik bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah memberikan impak besar terhadap ekonomi penduduk setempat.

“Ia juga selari dengan hasrat ECERDC untuk mempromosikan lagi produk-produk pelancongan yang berada di sekitar daerah berkenaan, selain daripada membantu mengelak daripada berlakunya kesesakan," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Beliau sebelum itu meninjau pelaksanaan projek pembinaan Masjid Kampung Laut di sini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status pembinaan Masjid Kampung Laut, Arizan memaklumkan, pembinaannya kini sudah mencapai tahap 66 peratus siap dan dijangka selesai awal tahun hadapan.

Katanya, pembinaan projek bernilai RM20 juta itu melibatkan dua fasa dan kini fasa pertama telah siap sepenuhnya.

"Kami jangka ia akan siap bulan Mac ini dan pembinaannya berjalan lancar, cuma ada beberapa kali perlu berhenti sekejap untuk jalankan suntikan vaksin pekerja dan sebagainya. Namun kini semuanya sudah selesai, kos pun tidak bertambah,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!