Gangguan air di Taman Ipoh Timur diatasi November ini

Mohd Zolkafly (kiri) dan Jenny (dua dari kiri) melihat peta yang disediakan LAP bagi bekalan air di Taman Ipoh Timur.
Mohd Zolkafly (kiri) dan Jenny (dua dari kiri) melihat peta yang disediakan LAP bagi bekalan air di Taman Ipoh Timur.
A
A
A

IPOH - Gangguan bekalan air yang dihadapi kira-kira 1,600 kediaman di kawasan Taman Ipoh Timur di sini sejak tahun lalu dijangka dapat diatasi pada November ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ia merupakan salah satu usaha yang dilaksanakan menerusi pemasangan paip baharu sepanjang 950 meter di sekitar kawasan itu.

Menurutnya, Lembaga Air Perak (LAP) dalam proses penyediaan sebut harga bagi menaik taraf rangkaian paip agihan serta tangki agihan supaya bekalan air lebih stabil.

"Kos awalan penyediaan sebut harga bagi kerja-kerja penggantian paip iaitu 200mm CLMS (640 meter) di Laluan Perajurit 1 bernilai RM260,000 dan 155uPVC PN12 (310 meter) di Hala Perajurit 3 bernilai RM70,000.

"Perkara ini dalam penyediaan sebut harga untuk beri perkhidmatan lebih baik dan dijangka siap dalam bulan November," katanya kepada pemberita selepas melawat tangki air di Taman Ipoh Timur di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy Tsi Jen dan Pengurus Besar LAP, Datuk Ishak Abdul Rahman.

Mohd Zolkafly berkata, tindakan telah diambil bagi memastikan bekalan air penduduk di kawasan Taman Perajurit pula tidak diganggu.

"Kerja-kerja pengawalan tekanan serta pengezonan semula kawasan bekalan telah dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Selepas langkah-langkah yang diambil masalah gangguan telah dapat diatasi," katanya.

Mohd Zolkafly berkata, hampir 95 kilometer paip lama dan usang di seluruh Perak telah siap diganti sehingga julai 2022 LAP.

"Program penggantian paip-paip lama dilaksanakan secara berkala di seluruh negeri mengikut keutamaan.

"Bagaimanapun, aduan boleh disalurkan menerusi aplikasi dan LAP akan mengambil tindakan segera," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 100 penduduk terjejas akibat gangguan air