Sembunyi daun ketum dalam tangki lori simen

Shafien (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan 5.6 tan daun ketum yang disembunyikan di dalam tangki sebuah lori simen ketika ditahan polis di SJR Chetok, Pasir Mas pada Selasa.
Shafien (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan 5.6 tan daun ketum yang disembunyikan di dalam tangki sebuah lori simen ketika ditahan polis di SJR Chetok, Pasir Mas pada Selasa.
A
A
A

PASIR MAS - Polis menahan dua lelaki dan merampas 5.6 tan daun ketum bernilai RM200,000 yang disembunyikan di dalam tangki sebuah lori simen dalam sekatan jalan raya (SJR) Chetok di sini pada pagi Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pemandu dan kelindan lori berusia 35 dan 45 tahun itu ditahan pada jam 3.15 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas lori tangki itu membawa kepada penemuan bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum dipercayai dibawa dari Kedah.

"Bagaimanapun selepas lori itu dibawa ke IPD Pasir Mas, polis menjumpai 566 bungkusan daun ketum yang setiap satunya seberat 10kg," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada Selasa.

Pada sidang akhbar itu juga Shafien turut menyampaikan surat penghargaan kepada pasukan yang berjaya menumpaskan kegiatan tersebut.

Shafien berkata, siasatan awal mendapati Pasir Mas dijadikan sebagai lokasi transit sebelum bahan larangan itu diseludup ke negara jiran.

"Harga mahal di negara jiran turut menjadi penyumbang kepada peningkatan aktiviti penyeludupan ketum dan polis akan meneruskan siasatan lanjut untuk mengenalpasti siapa dalang di sebalik aktiviti ini.

"Saringan ujian air kencing mendapati pemilik lori itu positif dadah, sementara kelindan mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula Selasa bagi membantu siasatan.

Difahamkan, suspek yang baharu membeli lori sejak sebulan lalu itu diberikan upah sebanyak RM3,000 untuk setiap perjalanan membawa ketum.