Bulan Sabit Merah agih dana lebih RM600,000 kepada mangsa banjir Yan

Foto fail Sinar Harian
Foto fail Sinar Harian
A
A
A

ALOR SETAR - Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) mengagihkan bantuan dana berjumlah RM618,526 kepada penduduk Yan yang terlibat dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air pada Ogos lepas.

Pengerusi Kebangsaan BSMM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, BSMM dengan kerjasama Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) mengusahakan bantuan itu menerusi Dana Bantuan Kecemasan Bencana 2021 IFRC.

“Dana ini bertujuan untuk menjalankan projek kemanusiaan kepada masyarakat yang kehilangan mata pencarian akibat bencana banjir di Yan. Dana ini disediakan bagi membantu 166 keluarga di Yan dan 50 lagi keluarga telah dikenal pasti untuk menerima bantuan daripada BSMM.

“Inisiatif ini akan berlangsung selama tiga bulan bermula 1 Sept hingga 30 November depan. Bantuan yang disediakan adalah seperti geran tunai sara hidup berjumlah RM450 bagi setiap keluarga dan geran pemulihan mata pencarian bersyarat berjumlah RM1,800 bagi setiap keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Turut diberikan ialah promosi kesedaran kebersihan, khidmat kesihatan mental, dan sokongan psikososial serta sumbangan pelitup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman kepada penduduk.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, seramai 35 sukarelawan dari BSMM Daerah Yan dan Kuala Muda serta 20 pegawai BSMM Kedah dan Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM ditugaskan selama tiga bulan bagi melaksanakan misi bantuan kemanusian berkenaan.

“Sebelum ini, BSMM dengan kerjasama Pejabat Daerah Yan, Majlis Belia negeri dan Yayasan Sultanah Bahiyah telah menjalankan operasi pembersihan dan sanitasi pascabencana banjir di sekitar Yan bermula 20 Ogos hingga 10 September lepas,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: