'Tak ada lagi akan ugut kerajaan demi kepentingan peribadi'

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Persefahaman yang terjalin antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) boleh ketepikan perseteruan politik dan mengutamakan kepentingan rakyat di hadapan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah dalam mematangkan demokrasi negara.

“Dengan menandatangani persefahaman ini, kita dapat pastikan bahawa kerajaan akan stabil dan tidak ada lagi sesiapa yang akan mengugut kerajaan demi kepentingan peribadi.

“Sejak awal lagi kita mahukan kestabilan politik. Itu perkara paling penting bagi kita sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Pada Isnin, kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melakar satu sejarah negara dengan memeterai MoU transformasi dan kestabilan politik di Dewan Bankuet, Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, MoU tersebut merangkumi enam iaitu pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, persefahaman tersebut bukan bermaksud parti pembangkang sudah masuk dalam kerajaan.

Menurutnya, PH masih kekal sebagai pembangkang dan perlu menjalankan tanggungjawab semak imbang dengan bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

“Persefahaman ini juga tidak bermaksud pembangkang akan dilantik dalam badan atau agensi eksekutif selain daripada apa yang telah dipersetujui sahaja.

“Bahkan ia juga tidak bermaksud kerajaan boleh buat apa sahaja tanpa semak imbang.

“Sebaliknya persefahaman ini akan memastikan bahawa pembangkang tidak menyokong apa-apa usul yang boleh dilihat sebagai penolakan kepada kerajaan, tanpa menghilangkan kebebasan pembangkang untuk membawa idea-idea lain serta mempersoal kerajaan dalam perkara-perkara dasar,” ujarnya.