X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Ibu tunggal bersyukur dapat rumah baharu

Norhizam (kiri) dan Ahmad Fadhil (kanan) ketika majlis penyampaian kunci rumah kepada Anisah (tengah) di Kampung Baroh, di Bachang pada Selasa.
A
A

MELAKA - Impian ibu tunggal tiga anak untuk memiliki kediaman sendiri selepas rumah pusaka yang didiaminya sebelum ini musnah dalam kebakaran November tahun lalu akhirnya tertunai.

Anisah Mamat, 42 berkata, selama tempoh itu mereka sekeluarga tinggal sementara di rumah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Malim selepas rumah pusaka milik ibunya berusia 40 tahun itu musnah hingga mengalami kerugian kira-kira RM150,000.

Menurutnya, disebabkan masalah kewangan dia yang mempunyai anak berusia 12 hingga 17 tahun tidak mampu untuk membina rumah sendiri sebelum memohon kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi program Baiti Jannati.

Bagaimanapun katanya, tidak lama selepas itu permohonannya berjaya dan rumah dilengkapi tiga bilik itu siap pada bulan ini serta dapat didiami bersama anak-anak dan ibunya yang berusia 74 tahun.

"Alhamdulillah syukur akhirnya dapat juga rumah yang lebih selesa untuk kami tiga beranak tinggal bersama ibu yang terlantar sakit saraf.

"Malah ada juga pihak yang prihatin memberikan beberapa perabot dan perkakas elektrik memandangkan kami tinggal sehelai sepinggang kerana semuanya telah musnah dalam kejadian kebakaran tempoh hari, " katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kunci rumah di Kampung Baroh Bahchang, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Menceritakan semula detik cemas itu, Anisah yang sedang mengasuh dua anak jirannya terkejut apabila api menyambar dalam rumah dipercayai berpunca daripada litar pintas sehinggakan tidak dapat menyelamatkan barang dalam rumah.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Negeri, Ahmad Fadhil Aziz berkata, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pihaknya sentiasa memainkan peranan sewajarnya dalam membantu menyediakan kehidupan selesa kepada masyarakat yang memerlukan.

Menurutnya, menerusi zakat perniagaan, TNB memperuntukkan kira-kira RM300,000 bagi pembinaan enam buah rumah dengan kos setiap rumah RM50,000 di bawah program itu sepanjang tahun ini.

"Usaha yang dilakukan di bawah program Baiti Jannati ini bertujuan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik termasuk golongan asnaf dan juga ibu tunggal," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!