X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Anak Sarawak kongsi kejayaan bersama 'Keluarga Malaysia'

Anak-anak muda Sarawak yang mencipta nama di peringkat antarabangsa, baik dalam bidang sukan mahupun seni.
A
A

KUCHING - Ramai rakyat negara ini sebenarnya telah mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang yang secara tidak langsung membanggakan Malaysia di persada dunia.

Kejayaan anak-anak Malaysia ini sekali gus memberi inspirasi buat generasi muda untuk terus menempa lebih banyak pencapaian hebat dalam setiap bidang diceburi mereka, dan tidak terkecuali anak-anak muda Sarawak yang mencipta nama di peringkat antarabangsa, baik dalam bidang sukan mahupun seni.

Semangat untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia menerusi keringat, penampilan dan kreativiti mereka terbukti menerusi pencapaian yang diperoleh dan kejayaan itu turut sama dikongsi seluruh rakyat negara ini.

Sebut sahaja atlet powerlifting negara, sudah pasti nama yang meniti di bibir rakyat Malaysia ketika ini ialah Bonnie Bunyau Gustin, pemuda berusia 22 tahun berketurunan Bidayuh berasal dari Kampung Baru Mawang, Serian, Sarawak.

Mana tidaknya, pada usia semuda itu beliau sudahpun menghadiahkan rakyat negara ini kilauan pingat emas pada Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo baru-baru ini, sekali gus memberikan keceriaan kepada segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Selain Bonnie, kecemerlangan ditampilkan seorang lagi atlet dari Bumi Kenyalang, Pandelela Rinong dalam sukan terjun amat membanggakan setelah berjaya merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012, pingat perak edisi Olimpik Rio 2016 selain memahat nama sebagai juara dunia acara 10 meter platform individu di Piala Dunia Terjun FINA di Pusat Akuatik Tokyo, Mei lepas.

Diberi gelaran ratu terjun negara, Pandelela, 28, menjadi antara watak penting dalam perpaduan rakyat negara ini, tanpa mengira kaum mahupun fahaman politik tetap memberikan sokongan padu sewaktu beliau turun beraksi.

Tidak terbatas kepada bidang sukan, pencapaian anak Sarawak yang turut menjadi kebanggaan rakyat Malaysia ialah pengarah, penulis dan penerbit filem terkemuka dunia, James Wan, 44, berketurunan Cina dan berasal dari Kuching yang kini menetap di Australia.

Bagi mereka yang ‘kaki wayang’ sudah pasti pernah menonton filem The Conjuring, Aquaman, Insidious, Fast Furious 7, Saw, Annabelle dan The Nun, yang merupakan antara filem yang melonjakkan nama Wan di mata dunia dan menjadi kebanggaan Malaysia.

Selain itu, pelakon kacukan Iban-British kelahiran Betong, Henry Golding, 34, terus membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa dalam industri perfileman menerusi filem berjudul Crazy Rich Asians, apabila diberi kepercayaan memegang watak utama, sekali gus pernah menjadi bualan rakyat negara ini.

Beliau yang sebelum ini disebut-sebut sebagai pengganti James Bond berbangsa Asia yang pertama, mengorak langkah dan membintangi sebuah filem yang padat dengan aksi iaitu Snake Eyes: G.I. Joe Origins selain pernah terlibat dalam sebuah dokumentari terbitan DCode by Discovery, ‘Surviving Borneo’ yang menceritakan perjalanan kisah hidupnya di Sarawak.

Penyanyi dan bintang sape kelahiran Sarawak berketurunan Kelabit-Itali, Alena Murang juga menjadi kebanggaan Malaysia selepas meraih dua anugerah berprestij dalam Anugerah Video Muzik Antarabangsa United Kingdom baru-baru ini.

Kemenangan pemuzik berusia 32 tahun itu diperoleh menerusi video muzik lagu bertajuk ‘Warrior Spirit’ yang mempamerkan kekuatan dalaman yang ada pada diri dan masyarakatnya yang berasal daripada darah pahlawan.

Tidak ketinggalan, Ratu Cantik Francisca Luhong James, 26, berketurunan Orang Ulu dan Iban melakar sejarah apabila melayakkan diri mewakili Malaysia ke pentas Miss Universe Antarabangsa dan bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Beliau dimahkotakan sebagai Miss Universe Malaysia 2020 di Kuala Lumpur pada September tahun lepas.

Bagi pemimpin muda Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, kejayaan yang diraih itu bukan sahaja membanggakan Sarawak, malah Malaysia secara amnya.

Fazzrudin berkata, semua maklum akan realiti nama anak Malaysia yang terpahat dalam arena antarabangsa tidak seramai negara-negara lain, namun dengan pencapaian daripada bakat-bakat anak Sarawak ini tentu sekali memberi makna yang amat besar buat Malaysia.

“Kita mesti mengambil ini sebagai pembakar semangat untuk kita meneruskan mengasah bakat-bakat di Malaysia, terutamanya di Sarawak. Kita harus bersatu untuk sama-sama mengangkat nama Malaysia di mata dunia,” katanya.

Kesemua pencapaian anak Sarawak ini merupakan kejayaan yang harus dikongsikan sebagai kebanggaan bersama ‘Keluarga Malaysia’ serta sumbangan daripada generasi pasca kemerdekaan yang tidak lain hanyalah ingin membawa nama Malaysia agar dikenali, disegani dan dihormati di seluruh dunia. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!