Dua wira negara terima pingat

Wan Kamilah Yaacob, 54 (kiri) dan Wan Ibrahim Mat Daud, 61 menunjukkan pingat yang diterima bagi pihak allahyarham anak mereka.
Wan Kamilah Yaacob, 54 (kiri) dan Wan Ibrahim Mat Daud, 61 menunjukkan pingat yang diterima bagi pihak allahyarham anak mereka.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua wira negara yang terkorban ketika operasi menyelamatkan mangsa lemas di lombong, Taman Putra Perdana, Puchong tahun lalu, menerima pengurniaan pingat.

Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra berkenan menyampaikan Pingat Bakti (PB) kepada bekas Pegawai Bomba Kanan, Allahyarham Izatul Akma Wan Ibrahim, 32 dan bekas Pegawai Bomba Kanan, Allahyarham Muhammad Fifdzul Malik Shaari, 25.

Dua anggota berasal dari Pasir Mas ini merupakan antara enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat seorang pemuda yang terjatuh dalam lombong, Taman Putra Perdana Puchong, 3 Oktober tahun lalu.

Empat lagi anggota yang tekorban ialah anggota PPDA Pelabuhan Klang, Mohd Fatah Hashim, 34; Mazlan Omar Baki, 25, Yahya Ali, 24 dan PPDA Shah Alam, Adnan Othman, 33.

Ketika sesi kedua Majlis Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Kelantan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V ke49 yang berlangsung di Istana Balai Besar Kota Bharu, seramai 393 menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat.

Turut tersenarai, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran Datuk.

Selain Mukhriz, turut menerima SJMK ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Rohm Wako Co. Ltd, Datuk Yosuke Yoshioka.

Artikel Berkaitan: