Tiada sebarang maklumat ancaman pengganas

Zamri Yahya
Zamri Yahya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini tidak memperoleh maklumat mengenai kemungkinan berlakunya ancaman pengganas di negara ini.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya bagaimanapun berkata, pihaknya sentiasa memantau rapi sebarang perkembangan mengenai ancaman pengganas, seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, amaran yang dikeluarkan kedutaan Jepun kepada warganegaranya di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara adalah satu bentuk nasihat perjalanan yang lazim, berdasarkan taksiran ancaman keselamatan oleh negara berkenaan.

Dalam hal ini, katanya, ia dalam konteks kemungkinan berlaku ancaman pengganas di rantau Asia Tenggara.

"Setakat ini hanya kedutaan Jepun di Kuala Lumpur yang berbuat demikian. Tiada sebarang nasihat perjalanan atau kenyataan dibuat oleh kedutaan atau Suruhanjaya Tinggi Asing lain di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Beliau berkata, nasihat perjalanan oleh kedutaan Jepun itu adalah sebagai satu langkah rutin untuk memberi peringatan kepada rakyat Jepun di rantau ini supaya berjaga-jaga sempena ulang tahun ke-20 serangan pengganas al-Qaeda terhadap World Trade Center (WTC) New York, Amerika Syarikat pada 11 September 2001.

"Nasihat berkenaan juga berkemungkinan mempunyai kaitan dengan perkembangan semasa di Afghanistan selepas Taliban menguasai Kabul," ujarnya.

Pada Isnin, kedutaan Jepun mengeluarkan nasihat perjalanan kepada semua warga Jepun yang berada di Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Myanmar supaya mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan sesak lain.

Artikel Berkaitan: