X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Tindakan Kamil layangkan Sharbinee kad merah tepat: FAM

Sivasundram
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memandang serius insiden kad merah yang dilayangkan terhadap Sharbinee Allawee semasa perlawanan Liga Premier menentang Negeri Sembilan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundram, keputusan pengadil perlawanan Muhammad Kamil Zakaria melayangkan kad merah terhadap penjaga gol Sarawak United tersebut merupakan keputusan tepat.

Jelas Sivasundram, pada perlawanan tersebut, penjaga gol Sarawak United FC, Sharbinee Allawee telah diperintah keluar padang setelah menerima kad merah kerana berkelakuan ganas.

“Jawatankuasa Pengadil FAM melalui Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil mengesahkan bahawa keputusan pengadil perlawanan pada malam itu adalah tepat yakni merangkumi pemberian sepakan penalti dan kad merah.

“Perkara ini selari dengan Undang-Undang Bola Sepak 21/22 digariskan IFAB, di bawah Undang-undang 12. Dalam lunas Undang-Undang Bola Sepak 21/22, di bawah Undang-undang 5 juga ada menyatakan bahawa keputusan pengadil adalah muktamad,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Sivasundram mengingatkan semua pemain dan pegawai pasukan supaya menyalurkan aduan atau bantahan melalui saluran yang betul.

Jelasnya, tindakan agresif dan menyerang pegawai perlawanan adalah sesuatu yang ditegah serta mencemarkan imej bola sepak Malaysia secara keseluruhannya.

“Bagi Jawatankuasa Pengadil FAM, setiap cadangan untuk penambahbaikan pengadil akan dinilai dengan sebaiknya dan tindakan yang sewajarnya juga akan diambil terhadap pegawai perlawanan yang didapati terkhilaf dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Pada Sabtu lalu, perlawanan membabitkan Sarawak United menentang Negeri Sembilan yang merupakan berintensiti tinggi dalam perebutan kejuaraan Liga Premier dicemari insiden layangan kad merah selepas Sharbinee mengasari pemain Negeri Sembilan.

Di penghujung perlawanan tersebut juga menerusi satu klip video yang tular beberapa pemain dan pegawai kejurulatihan Sarawak United dilihat menyerbu Muhammad Kamil selepas aksi di Cheras yang menyaksikan kemenangan 1-0 Negeri Sembilan.

Tindakan tersebut dipercayai selepas anak buah E Elavarasan tidak berpuas hati selepas mendakwa pemain Sarawak United dikasari ketika Francis Kone menanduk masuk gol kemenangan pada masa kecederaan skuad kendalian K Devan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!