Tingkat rondaan lewat malam

Gambar kecil: Tengku Ahmad Marwan
Gambar kecil: Tengku Ahmad Marwan
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) diharap mempertingkatkan rondaan di jalan raya terutama ketika waktu lewat malam sehingga awal pagi.

Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, rondaan dan pemeriksaan terhadap pemandu perlu dilakukan lebih kerap terutama bermula jam 11 malam dan ke atas kerana bimbang ada pemandu yang terlibat dalam jenayah dan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

"Pemanduan ketika lewat malam berisiko tinggi berhadapan dengan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah selain sukar mendapatkan bantuan," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, mengulas mengenai insiden yang menimpa dua individu di Lebuhraya Persekutuan pada awal pagi Ahad katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap pelaku tersebut.

"Memandu secara melawan arus bukan satu kes baharu dan pihak berkuasa perlu bertindak tegas tegas supaya perkara ini tidak berulang," katanya.

Pada awal pagi Ahad, dua maut apabila kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu melawan arus di 8.5 Kilometer Lebuh Raya Persekutuan

Mangsa maut ialah pemandu, Nur Afiqah Abd Karim, 18, beralamat di Taman Bayu Perdana Klang dan penumpang, Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, beralamat di Kelompok Camar, Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang.

Artikel Berkaitan: