Covid-19: Indonesia sedia masuk fasa endemik

Kerajaan Indonesia memperhebatkan kempen vaksinasi Covid-19 bagi mengawal penularan gelombang kedua wabak itu. - Foto EPA
Kerajaan Indonesia memperhebatkan kempen vaksinasi Covid-19 bagi mengawal penularan gelombang kedua wabak itu. - Foto EPA
A
A
A

JAKARTA - Indonesia kini bersedia untuk fasa perubahan Covid-19 daripada pandemik ke endemik selepas berjaya mengawal penularan gelombang kedua wabak itu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, Covid-19 tidak akan hilang begitu saja dalam tempoh terdekat.

"Kita perlu bersedia untuk fasa perubahan ini dan belajar hidup bersama Covid-19," katanya ketika melawat program vaksinasi Covid-19 di sebuah sekolah orang kurang upaya di Yogyakarta.

Antara hujung Jun hingga awal Ogos, Indonesia berdepan lonjakan kes Covid-19 akibat penularan varian Delta yang sangat mudah berjangkit.

Pasukan Petugas C-19 negara itu merekodkan kes harian terbesar pada 15 Julai lalu dengan 56,757 jangkitan dan angka kematian tertinggi 2,068 mangsa pada 27 Julai.

Bagaimanapun, trend penurunan kes harian dan jumlah kematian mula dilihat sejak pertengahan bulan lalu, yang kini merekodkan kes harian 3,779 jangkitan dan 188 kematian setakat Ahad.

Kerajaan Indonesia juga sudah mula melonggarkan sekatan pergerakan awam yang dikenali sebagai PPKM, manakala kegiatan ekonomi seperti pusat beli-belah dan pejabat kembali beroperasi dengan kapasiti serta tempoh operasi terhad.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin, berkata semua orang boleh kembali melaksanakan pelbagai kegiatan secara berfasa seperti dalam PPKM ketika perubahan daripada pandemik ke endemik.

"Semua orang perlu berdisiplin dengan mematuhi protokol kesihatan dan mendapatkan suntikan vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Kami menggalakkan pelaksanaan saringan, pengesanan dan rawatan, termasuk pengasingan berpusat supaya kes baharu dapat dikesan lebih cepat," katanya.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 41.73 juta individu di Indonesia sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 dan 72.76 juta sudah mendapat suntikan pertama vaksin itu. - Agensi