Tan Chong Motors raih keuntungan pada FY18

1
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Chong Motor Holdings Bhd kembali meraih keuntungan dengan mencatatkan keuntungan bersih RM101.03 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 (FY18) berbanding kerugian bersih RM88.6 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata perolehan meningkat kepada RM4.86 bilion daripada RM4.34 bilion sebelumnya, sebahagian besarnya disumbangkan oleh bahagian automotif yang menyumbang RM4.75 bilion kepada jumlah keseluruhan perolehannya.

"Bahagian automotif mencatatkan perolehan lebih tinggi sebanyak RM4.75 bilion pada FY18, meningkat 11.6 peratus daripada FY17 disebabkan peningkatan jumlah kenderaan yang dijual dalam pasaran domestik dan luar negara.

"Pengecualian cukai jualan turut menyumbang kepada peningkatan jualan dalam pasaran domestik bagi FY18," katanya.

Tan Chong berkata pendapatan dalam segmen berkenaan sebelum faedah, cukai, penyusutan dan pelunasan turut meningkat 217.3 peratus tahun ke tahun kepada RM305.1 juta bagi FY18, didorong oleh peningkatan jualan bercampur-campur, kadar pertukaran asing yang bertambah baik dan kos pengoptimuman strategik yang memacu margin lebih baik.

Bagi suku keempat 2018, Tan Chong berkata syarikat mencatatkan keuntungan bersih RM51.56 juta berbanding kerugian bersih RM7.19 juta setahun sebelumnya, manakala perolehan meningkat kepada RM1.17 bilion daripada RM1.08 bilion sebelumnya.

"Kedudukan kewangan kumpulan terus bertambah baik dengan tahap kadar hutang bersih pada 30.7 peratus daripada 47.1 peratus pada FY17, dan pendapatan tertangguh kumpulan sebanyak RM1.85 bilion pada 31 Dis, 2018," katanya. Mengenai prospek, syarikat terus mengekalkan pendirian berhati-hati berikutan unjuran industri automotif tempatan dijangka kekal suram pada 2019.

"Jualan kenderaan baharu (dijangka) kekal kurang memberangsangkan berikutan sentimen pengguna yang berhati-hati dengan barangan mahal, berserta dengan garis panduan kelulusan kewangan yang ketat di tengah-tengah keadaan ekonomi semasa. "Kami menjangkakan landskap perniagaan untuk kekal mencabar di bawah keadaan ini,” katanya.

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Tan Chong berkata Kawasaki Heavy Industries Ltd memutuskan untuk tidak memperbaharui, selepas 31 Mac 2019, perjanjian yang memberikan anak syarikat tidak langsung Tan Chong iaitu TC Motorcycles (Vietnam) Co Ltd, sebagai pengedar eksklusif untuk menjual motosikal jenis sukan Kawasaki (kecuali kapcai dan skuter) serta alat ganti dan aksesori di Vietnam.

"Langkah tidak memperbaharui perjanjian pengedaran itu tidak mendatangkan impak besar terhadap kewangan dan operasi kumpulan itu bagi tahun kewangan semasa,” kata syarikat itu. - BERNAMA


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia