X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Ramai pemain muda masih belum divaksin

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
A
A

IPOH - Persaingan Piala Presiden dan Piala Belia hanya boleh diteruskan selepas pemain-pemain terlibat melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika ini masih ramai pemain dalam lingkungan usia 17 hingga 22 tahun belum divaksin yang menjadi faktor utama saingan pelapis itu dibatalkan untuk dua musim berturut-turut.

"Untuk tempoh sekarang ini sukan 'outdoor' sudah dibenarkan, cuma kita nak memastikan keselamatan dan kesihatan para pemain terlebih dahulu kerana ramai dalam kalangan pemain muda ini belum divaksin.

"Kerajaan pun sudah memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam kalangan belia. Jadi, Insya-ALLAH mungkin hujung tahun ini apabila kita sudah mencapai imunisasi, bolehlah kita memulakan semula liga-liga ini," katanya dalam sidang akhbar sempena perjumpaan bersama sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) di Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.

Pada Ogos lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pembatalan saingan terbabit untuk tahun kedua berturut-turut selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19.

Faktor lain adalah disebabkan pemain yang sudah melengkapkan vaksin masih berada pada tahap rendah dan dikhuatiri memberi risiko tinggi terhadap keselamatan dan kesihatan pemain sekiranya pertandingan tetap mahu dilangsungkan.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, Kementerian Belia dan Sukan menganggap keputusan FAM itu adalah tepat bagi mengelak masalah terutama dari segi keselamatan dan kesihatan pemain.

"Saya amat bersetuju dan menyokong keputusan yang dibuat FAM sebab ia jauh lebih penting daripada pertandingan itu sendiri.

"Kita tunggu semuanya selesai (vaksin) dan baru putuskan perkara-perkara yang lain bagi saingan pertandingan itu, termasuklah cadangan sama ada perlawanan berlangsung dengan penonton atau tidak ada penonton," jelas beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!