Gerakan besar-besaran lawan korupsi

Hussamuddin mengajak rakyat Malaysia bangkit dalam satu gerakan besar-besaran melawan korupsi pada pelancaran program Politik #MalaysiaTanpaRasuah pada Sabtu.
Hussamuddin mengajak rakyat Malaysia bangkit dalam satu gerakan besar-besaran melawan korupsi pada pelancaran program Politik #MalaysiaTanpaRasuah pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Gelombang rakyat adalah revolusi terbaik melenyapkan amalan rasuah dan mengenepikan kelompok pemimpin yang tidak bersih daripada menerajui negara.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, sudah tiba masanya untuk seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang dan bangsa untuk sama-sama bergabung menjayakan gerakan membersihkan negara daripada budaya rasuah.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf berkata, belum pernah dalam sejarah negara apabila satu gerakan besar-besaran yang benar-benar menyayangi negara tampil secara terbuka menyatakan tuntutan berhubung isu rasuah, sekali gus merealisasikan hasrat rakyat untuk melihat Malaysia bebas daripada gejala tidak bermoral tersebut.

“Sudah tiba masanya untuk seluruh masyarakat Malaysia menyertai gerakan Pasukan Rasuah Busters bersama lebih 400 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjayakan misi memerangi rasuah.

“Gerakan ini juga berharap kumpulan pemimpin yang tidak bersih tidak mendapat tempat urus tadbir negara,” katanya pada pelancaran gerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah pada Sabtu di sini.

Kempen Politik #MalaysiaTanpaRasuah anjuran Pasukan Rasuah Busters menampilkan enam tuntutan utama untuk dilaksanakan oleh kerajaan bagi memerangi rasuah.

Enam tuntutan itu adalah pelaksanaan dan sokongan penuh terhadap Pelan Antirasuah Nasional.

Keduanya mempercepatkan pembentangan dan pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik, manakala tuntutan ketiga memastikan kebebasan dan ketelusan institusi iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Artikel Berkaitan:

Tuntutan keempat adalah memperkenal dan mengadakan Pilihan Raya Semula atau Pecat Wakil Rakyat sebagai alternatif segera kepada Akta Anti-Lompat Parti.

Tuntutan kelima adalah pelaksanaan dan pemerkasaan Undi18 serta terakhirnya Melaksanakan Reformasi Parlimen.

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, masyarakat masa kini yang sudah bijak membezakan antara hak dan batil perlu menyuarakan kebangkitan menentang amalan korupsi.

Kumpulan pendesak

Menurutnya, rakyat harus menggunakan kuasa yang ada untuk mendesak agar satu perubahan dapat dilakukan terhadap negara terutama bagi memastikan generasi masa depan tidak ‘miskin’ akibat gejala rasuah yang berleluasa pada masa kini.

Tambahnya, bukan sahaja masyarakat umum perlu berubah daripada mengamalkan budaya rasuah, golongan pemimpin juga perlu bersama-sama menjayakan agenda penting ini.

Tegasnya, sebagaimana akur janji yang dinyatakan oleh barisan kepimpinan negara baru-baru ini, usaha membersihkan negara daripada rasuah perlu dilaksanakan terutama dalam mencapai KPI terbaik untuk tempoh 100 hari pentadbiran.

“Kami di Pasukan Rasuah Busters akan terus mendesak dan memantau isu rasuah di negara ini kerana kami sayangkan negara, selain mahu generasi masa depan bebas daripada budaya jijik ini,” katanya.