Kena cegah segera elak merebak

Senario yang berlaku di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur selepas perlawanan Sarawak United menentang Negeri Sembilan pada Jumaat. (Gambar kecil: Subkhiddin)
Senario yang berlaku di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur selepas perlawanan Sarawak United menentang Negeri Sembilan pada Jumaat. (Gambar kecil: Subkhiddin)
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa mengenakan hukuman lebih berat yang memberi mesej pengajaran susulan insiden menyerang pengadil semasa perlawanan Liga Premier, Sarawak United menentang Negeri Sembilan FC, pada Jumaat.

Malah menurut bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh, dalam era bola sepak profesional negara insiden sedemikian tidak sewajarnya berlaku, malah pemain atau pegawai pasukan perlu lebih bijak mengawal emosi sepanjang tempoh perlawanan.

“Biarpun saingan Liga Super dan Liga Premier menghampiri penghujungnya, tindakan pemain dan pegawai pasukan menyerang pengadil serta pegawai pertandingan masih lagi berlaku, dan seolah-olah hukuman dikenakan sebelum ini tidak memberikan kesan apatah lagi mesej.

“Sesungguhnya ini merupakan suatu perkara yang amat mengecewakan walhal sepatutnya perkara negatif ini boleh dibasmi atau dicegah sejak awal lagi dengan hukuman yang memberikan pengajaran dan peringatan kepada semua pemain dan pegawai kelab Liga Malaysia.

“Tidak dapat tidak kita perlu mengakui bahawa insiden yang berlaku di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam tidak hanya menjejaskan pengendali Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tetapi juga imej Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di mata dunia.

“Sekali lagi saya berharap supaya FAM dapat melihat situasi yang boleh disifatkan sebagai 'barah' yang kian menular dalam industri bola sepak negara ini.

“ 'Barah' ini perlu 'dibuang' segera agar tidak terus merebak ke peringkat liga bawahan selepas ini pada masa depan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Sebelum itu, menerusi satu klip video yang tular di media sosial, pengadil perlawanan, Mohd Kamil Zakaria Ismail diserang beberapa pemain dan pegawai kejurulatihan Sarawak United selepas perlawanan yang menyaksikan kemenangan 1-0 Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas sama ada FAM perlu menyediakan pegawai perlawanan yang berpengalaman untuk aksi berprofil dan berintensiti tinggi seperti Sarawak United menentang Negeri Sembilan, Subkhiddin berkata, beliau percaya badan induk bola sepak negara itu telah mempersiapkan pegawai perlawanan yang cukup bersedia untuk sebarang perlawanan.

“Pengadil atau pegawai pertandingan yang ditugaskan mengendalikan perlawanan Liga Malaysia, semuanya cukup bersedia mengalas tanggungjawab kerana semua perlawanan baik Liga Super atau Liga Premier merupakan perlawanan berintensiti tinggi.

“Pengadil dan pegawai pertandingan sebenarnya bersedia memberikan perkhidmatan terbaik dengan mengurangkan berlakunya kesilapan setiap perlawanan, namun persoalannya di sini apakah pemain dan pegawai pasukan bersedia memberikan kerjasama melancarkan perlawanan?,” katanya.