Laksana reformasi Parlimen agar lebih autonomi, bebas rasuah

Badlishah Sham Baharin
Badlishah Sham Baharin
A
A
A

SHAH ALAM - Reformasi Parlimen perlu dilakukan bagi memastikan ia lebih autonomi dan bebas daripada sebarang kesalahan rasuah seterusnya menjadi institusi yang membawa negara berada di atas landasan yang tepat.

Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia, Badlishah Sham Baharin berkata, perkara itu perlu dilakukan segera agar dapat menguatkan semula institusi itu dengan mengembalikan semula undang-undang perkhidmatan Parlimen.

“Ia juga menguatkan peranan sebagai institusi semak dan imbang. Beri autonomi kepada pentadbiran, kewangan dan juga kepada institusi Parlimen itu sendiri.

“Kebebasan yang lebih terjamin kerana tidak bergantung kepada kerajaan untuk kewangan.

"Oleh itu kita tuntut supaya dibawa kembali undang-undang perkhidmatan Parlimen ini yang telah dimansuhkan pada tahun 1992,” katanya semasa Majlis Pelancaran Politik #MalaysiaTanpaRasuah di sini pada Sabtu.

Majlis tersebut dilancarkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub yang bertujuan mendesak kerajaan dan kepimpinan politik untuk bebas daripada gejala rasuah.

Beliau yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters berkata, menerusi kempen itu, terdapat enam tuntutan yang diberi perhatian oleh pasukan Rasuah Busters.

Mengulas lanjut, Badlishah Sham berkata, Reformasi Parlimen perlu diadakan bagi perkasakan jawatankuasa pilihan Parlimen agar keputusan lebih telus dan adil.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keanggotaan jawatankuasa itu perlu seimbang dan melibatkan lebih ramai ahli politik daripada blok pembangkang.

“Kita juga ingin jawatankuasa pilihan ini memilih dan melantik pimpinan syarikat berkaitan kerajaan dan pimpinan kepada agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Ia perlu ditentukan oleh jawatankuasa pilihan Parlimen. Ini lebih telus dan dapat pastikan orang yang benar-benar layak, bebas rasuah untuk mengetuai agensi penguat kuasa,” ujarnya.

Tambah beliau, reformasi Parlimen perlu dilakukan bagai memastikan institusi tersebut diperkasakan dengan lebih baik.

“Ia merupakan institusi yang menjadi institusi semak dan imbang di dalam negara kita ini. Ia juga satu institusi yang boleh mengangkat dan mengetengahkan suara rakyat serta melibatkan suara rakyat dalam pembuatan dan penggubalan dasar polisi negara.

“Selain itu, sebagai sebuah institusi yang membuat keputusan tertinggi dalam negara, ia mesti dilihat sebagai satu institusi yang bebas daripada rasuah dan memeranginya dalam masa yang sama,” katanya.

Jelasnya, reformasi yang dilakukan ini boleh menjamin kualiti hidup yang lebih tinggi dan meningkatkan pendapatan rakyat.

“Ekonomi negara dan ekonomi rakyat lebih terjamin. Makan dan minum rakyat lebih terjaga. Kalau kita boleh pastikan semua reformasi yang kita laungkan ini, perubahan yang kita nak lakukan, maka ia boleh membawa kepada kehidupan negara yang lebih sejahtera,” katanya.