Maut kena renjatan elektrik ketika jolok buah

Gara-gara ingin mengambil buah dabai, seorang lelaki tempatan maut terkena renjatan elektrik di Jalan Lukut, Kanowit.
Gara-gara ingin mengambil buah dabai, seorang lelaki tempatan maut terkena renjatan elektrik di Jalan Lukut, Kanowit.
A
A
A

KANOWIT- Gara-gara ingin mengambil buah dabai, seorang lelaki tempatan maut terkena renjatan elektrik di Jalan Lukut, Kanowit di sini pada Jumaat.

Insiden malang yang berlaku sekitar jam 3.50 petang itu disedari orang awam sebelum membuat panggilan kecemasan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit Arrahman Chik laporan diterima dari orang awam sekitar jam 3.59 petang dan segera mengerahkan anggota BBP Kanowit ke lokasi kejadian.

Mangsa Ting Siew Kiong 52 tahun dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan di sebatang pokok setinggi 35 kaki.

"Mangsa dikatakan cuba menjolok buah dabai menggunakan galah yang diperbuat daripada aluminium.

"Ketika berada di atas pokok, galah mangsa telah tersentuh kabel elektrik menyebabkan lelaki itu terkena renjatan lalu tidak sedarkan diri di atas pokok berkenaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambah Arrahman, keadaan cuaca yang hujan renyai merupakan cabaran kepada pasukannya untuk menurunkan mangsa.

Sehubungan itu, pasukan Bomba mendapatkan bantuan pihak Sesco untuk memutuskan bekalan elektrik sebagai langkah keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya- Awani