Bersatu tubuhkan Akademi Kepimpinan

Muhyiddin ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima Bersatu pada malam Jumaat.
Muhyiddin ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima Bersatu pada malam Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan penubuhan Akademi Kepimpinan Bersatu yang menjadi platform kepada parti itu untuk mengadakan siri latihan berteraskan nilai, roh dan semangat perjuangan sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, akademi ini juga akan memberi tumpuan kepada penerapan semangat kebangsaan berteraskan Islam yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai ideologi Bersatu.

"Pentadbiran parti di setiap peringkat termasuk di ibu pejabat, badan pimpinan negeri, bahagian dan cawangan mesti diperkukuhkan.

"Begitu juga dengan sayap Srikandi dan Armada. Pentadbiran parti kita mesti disusun dengan baik bagi memastikan semua perancangan parti dapat dilaksanakan dengan sempurna," katanya ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima Bersatu pada malam Jumaat.

Menurutnya, sebagai sebuah parti pribumi, Bersatu akan terus membela nasib orang Melayu dan Bumiputera.

Jelas beliau, ia termasuk menjaga kebajikan serta memperbaiki taraf hidup golongan B40 yang sebahagian besarnya terdiri daripada masyarakat Melayu dan Bumiputera.

"Perhatian juga akan diberikan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang penyertaan Melayu dan Bumiputera dalam bidang-bidang pertumbuhan ekonomi utama yang berdaya maju.

"Dalam konteks ini, agenda Wawasan Kemakmuran Bersama yang bertujuan untuk menangani jurang pendapatan antara kaum, wilayah dan kelas sosial akan terus menjadi keutamaan kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin menambah, walaupun usia Bersatu masih baharu, beliau yakin jika parti diuruskan dengan cemerlang, istiqamah dengan roh perjuangan parti yang murni dan mengamalkan nilai-nilai kepimpinan yang mulia iaitu berintegriti, beramanah dan bermaruah, rakyat akan melihat kelainan dalam parti itu.

Katanya, Bersatu juga mesti sentiasa sabar dan tenang dalam menghadapi dugaan dan cabaran serta sentiasa menekankan prinsip penyatuan dan perpaduan dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

"Kepimpinan Bersatu di setiap peringkat mestilah menjadi “role model” kepada masyarakat, khususnya anak-anak muda yang bakal menjadi pelapis kepimpinan parti dan negara," katanya.