MBS lanjut tempoh bayaran cukai hingga 15 Oktober

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melanjutkan tempoh pembayaran cukai taksiran bagi penggal 2/2021 kepada 288,190 pemegang harta di bawah MBS sehingga 15 Oktober ini.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, keputusan itu dibuat atas dasar keprihatinan majlis tersebut terhadap bebanan rakyat di seluruh negara akibat pandemik Covid-19.

“Oleh itu, denda lewat cukai taksiran berjumlah RM20 bagi semua akaun yang tertunggak akan mula dikenakan mulai 16 Oktober ini.

“MBS amat menghargai komitmen dan usaha rakyat untuk tetap menjelaskan cukai taksiran mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk menyemak dan mencetak bil melalui portal rasmi MBS di www.mbs.gov.my atau http://esemak.mbs.gov.my/webquery/etaksir/ selain membuat pembayaran melalui kaunter pandu lalu di Pejabat Utama MBS dan Cawangan MBS Nilai.

Katanya, pembayar wajib membayar cukai taksiran untuk pegangan dua kali dalam setahun iaitu penggal pertama sebelum 28 Februari bagi setengah tahun pertama mulai 1 Jan hingga 28 Februari dan penggal kedua sebelum 31 Ogos bagi setengah tahun kedua mulai 1 Julai hingga 31 Ogos.

Masri berkata, MBS turut mengadakan kempen cabutan bertuah untuk pembayar dalam talian dengan bayaran penuh cukai taksiran hingga 30 Jun tahun depan kepada seluruh pemilik harta dalam kawasan pentadbiran MBS yang bermula 1 Ogos lalu dan tamat pada 31 Disember ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: