Ibu harap keajaiban Muhammad Ammar pulih kanser saraf

Muhammad Ammar ditemani adiwira Ultraman ketika bermain lego yang dihadiahkan kepadanya sempena ulang tahun kelahiran ketujuh di rumah neneknya di Kampung Bahagian, Guar Kepayang, pada Jumaat.
Muhammad Ammar ditemani adiwira Ultraman ketika bermain lego yang dihadiahkan kepadanya sempena ulang tahun kelahiran ketujuh di rumah neneknya di Kampung Bahagian, Guar Kepayang, pada Jumaat.
A
A
A

PENDANG - Tiada apa yang mampu dilakukan oleh seorang ibu selain memohon kepada ALLAH agar penyakit kanser neuroblastoma tahap empat yang dihidapi anaknya berusia tujuh tahun sembuh dan dapat menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Fara Wahida Md Ishak, 37, yang merupakan kerani di sebuah sekolah di Alor Setar berkata Muhammad Ammar Muhammad Suhaimi dikesan menghidap penyakit saraf tersebut pada Oktober tahun lepas.

"Sebelum penyakit itu dikesan, dia (Muhammad Amar) menghadapi masalah untuk berjalan dan sering mengalami demam menyebabkan saya dan suami (Muhammad Suhaimi Zakaria, 43) membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar sebelum ke pusat perubatan swasta untuk pemeriksaan lanjut.

"Pemeriksaan di pusat perubatan itu berjaya mengesan sel kanser pada bahagian buah pinggangnya sebelum dia dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan kemoterapi. Alhamdulillah, selepas itu dia boleh berjalan semula tetapi sel kanser masih ada," katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Bahagia, Guar Kepayang di sini pada Jumaat.

Fara Wahida berkata, rawatan kemoterapi diteruskan hingga Julai lepas namun sel kanser semakin merebak dan doktor yang merawat menjangkakan tempoh untuk anak keempat daripada lima beradik itu hidup hanya selama enam bulan.

"Untuk kesempatan yang masih ada ini, saya dan suami cuba memenuhi apa sahaja permintaannya. Dia nak pakai baju bomba dan naik jentera bomba, insya-ALLAH kami akan tunaikan," katanya yang memiliki lima anak berusia tiga hingga 15 tahun.

Dalam pada itu, nasib menimpa Muhammad Ammar mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) yang hadir menyampaikan sumbangan dan hadiah bagi menceriakan kanak-kanak itu.

Pengerusi FOCCAN, Maznah Tayib berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja untuk menggembirakan Muhammad Ammar malah memberi sokongan kepadanya untuk terus bersemangat melawan penyakit itu.

Artikel Berkaitan:

"Muhammad Ammar memerlukan perhatian dan sokongan semua pihak, jadi kita datang menceriakannya. Harapan kami, agar Muhammad Ammar pulih seperti sediakala walaupun doktor menjangkakan tempoh hayatnya hanya enam bulan tetapi itu hanya ramalan,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu Muhammad Ammar atau berhasrat memberi sokongan kepada keluarganya boleh menghubungi Fara Wahida di talian 012-5514453. - Bernama