Pertimbang pembaharuan buruh berkaitan gaji minimum, pekerja asing

Tan Sri Abdul Wahid Omar
Tan Sri Abdul Wahid Omar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu menimbang untuk meneruskan agenda pembaharuan tambahan termasuk pembaharuan buruh, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL) , Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Cadangan pembaharuan itu melibatkan, antara lainnya, kenaikan gaji minimum yang dirancang secara beransur-ansur ke arah 'gaji pendapatan lumayan' dan mengkaji semula dasar pengambilan pekerja asing, katanya.

“Ini sejajar dengan komitmen untuk mengukuhkan lagi agenda kemampanan dalam Belanjawan 2022 seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan Pra-Belanjawan,” katanya dalam ucapan pembukaan beliau pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik yang diadakan secara maya, di sini pada Khamis.

Menurutnya, terdapat keadaan mendesak yang perlu diberi perhatian segera dari segi buruh asing, iaitu dakwaan buruh paksa dan perhambaan moden yang ketika ini menjejaskan beberapa syarikat perladangan dan pengeluar sarung tangan getah.

“Sebilangan besar dakwaan berkait dengan ‘pengikatan’ pekerja asing oleh ejen pengambilan pekerja di negara asal. Ini adalah isu mendesak yang perlu ditangani kerajaan dalam dua bahagian.

“Pertama, berkaitan dengan libat urus bersama dengan kerajaan Amerika Syarikat untuk memastikan perintah tahan pelepasan (WRO) yang dikeluarkan terhadap empat syarikat Malaysia oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) ditarik balik manakala yang keduanya adalah berkaitan dengan dasar pelantikan ejen pengambilan pekerja asing yang mengenakan bayaran terlalu tinggi kepada pekerja asing,” katanya.

Abdul Wahid memberi amaran melainkan isu itu ditangani dengan segera, WRO dan pengkategorian Malaysia sebagai negara Tier 3 di bawah laporan Trafficking in Persons akan membawa kesan negatif yang besar kepada ekonomi Malaysia.

“Ini kerana sejajar dengan komitmen global ke arah kelestarian/ ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus), banyak perniagaan global akan mengelak daripada berurusan dengan syarikat yang didakwa terlibat dengan amalan buruh paksa dan perhambaan moden daripada rantaian bekalan. Jika ini tersebar ke sektor elektrik dan elektronik kesan buruknya sukar untuk dipulihkan,” kata Abdul Wahid.

Artikel Berkaitan:

Sidang Kemuncak Pemulihan Negara diadakan bertujuan untuk menyediakan maklumat dan penjelasan mengenai Pelan Pemulihan Negara serta mendapatkan sokongan daripada perniagaan, persatuan, ahli pemikir, pakar dan ahli akademik. - Bernama