Ajaran sesat: Rujuk Jabatan Mufti, JAIPk

Kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi akaun Facebook jabatan berkenaan pada Khamis.
Kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi akaun Facebook jabatan berkenaan pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Umat Islam di negeri ini digesa berwaspada terhadap kemunculan ajaran sesat baharu dengan sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam seperti Jabatan Mufti Negeri Perak.

Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi satu kenyataan menjelaskan, orang ramai boleh juga merujuk institusi berautoriti lain seperti Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) atau Pejabat Agama Islam Daerah.

Menurutnya, gesaan itu dibuat susulan kemunculan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang disebarkan melalui pelbagai platform media sosial sekali gus mengundang keresahan dalam kalangan masyarakat Islam.

"Justeru, Jabatan Mufti Negeri Perak menyeru seluruh umat Islam agar mengambil beberapa pendekatan iaitu berwaspada terhadap setiap fahaman dan ajaran mencurigakan yang bertujuan mengelirukan umat Islam daripada ajaran sebenar.

"Mereka juga boleh merujuk kepada alim ulama yang dimaklumi mempunyai kepakaran dan keabsahan mereka dalam bidang agama selain merujuk pihak berautoriti," katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, dalam usaha menangani isu tersebut, umat Islam sewajarnya berpegang teguh dengan panduan Islam sebenar yang berteraskan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Jelasnya, berdasarkan panduan tersebut, tidak ada keperluan dan kewajaran umat Islam untuk mencari ajaran mahupun fahaman meragukan serta bertentangan dengan ajaran al-Quran dan sunnah nabi.

Sehubungan itu juga, jabatan berkenaan menyarankan umat Islam supaya menambah kefahaman agar dapat memahami pelbagai disiplin ilmu agama dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi yang pernah terlibat dalam ajaran yang jelas menyimpang itu, mereka perlu bertaubat dan kembali menghayati ajaran Islam sebenar.

Tambahnya lagi, masyarakat Islam wajib peka dengan persekitaran akidah semasa agar tidak tergelincir dari landasan sebenar di samping memelihara legasi akidah yang disemai dengan subur sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda.