PSR: Kerajaan Pulau Pinang buat semakan undang-undang

Zairil
Zairil
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertimbangkan tindakan undang-undang menerusi permohonan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan susulan pembatalan kelulusan terhadap laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Exco Pengangkutan dan Infrastruktur, Zairil Khir Johari berkata, pertimbangan itu dilakukan sementara mendapat salinan rasmi perintah Lembaga Rayuan secara bertulis berhubung pembatalan tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan tindakan-tindakan lain antaranya kemungkinan mengemukakan satu laporan Kajian Impak Alam Sekitar yang dikemaskini semula berdasarkan kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri yang dirujuk dalam keputusan Lembaga Rayuan berkenaan.

“Mengambil maklum laporan berita berhubung keputusan Lembaga Rayuan yang dibuat dengan kuasa-kuasanya mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membatalkan kelulusan bagi laporan EIA bagi PSR itu.

“Keputusan itu diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar atas alasan teknikal tidak memenuhi kehendak Seksyen 34A(4)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat keputusan untuk mengetepikan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi projek tambak laut untuk membentuk tiga buah pulau buatan di Perairan Selatan (PSR) Pulau Pinang.

Keputusan itu menjadikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan adalah terbatal dan tidak lagi sah selepas ia diperoleh pada 25 Jun 2019.

Keputusan terbabit dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub; pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Profesor Madya Dr Ramdzani Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel Berkaitan: