Dua lelaki cuba curi tabung ekzos ditahan

Rakaman tindakan dua suspek cuba curi tabung ekzos tular di laman sosial.
Rakaman tindakan dua suspek cuba curi tabung ekzos tular di laman sosial.
A
A
A

AMPANG - Dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes cubaan mencuri tabung ekzos kenderaan di kawasan parkir sebuah hotel di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua suspek berusia 24 dan 25 tahun itu ditahan di Sungai Besi pada jam 11 malam.

"Kita turut merampas dua tabung ekzos, dua penyambung tabung ekzos, pelbagai peralatan membuka ekzos, gergaji besi bermotor dan sebuah kereta jenis Proton Iriz," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mohamad Farouk berkata, hasil semakan mendapati suspek berusia 24 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah berhubung kes curi.

"Saringan ujian air kencing kedua-dua suspek akan dibuat selepas permohonan reman pagi ini di Mahkamah Ampang," katanya.

Beliau berkata, modus operandi suspek melakukan kegiatan curi tabung ekzos bagi mendapatkan besi platinum berharga yang terdapat di dalam benda tersebut.

"Suspek telah mendedahkan mereka terlibat dengan jenayah curi tabung ekzos beberapa kali di sekitar kawasan daerah Ampang dan Kajang.

"Siasatan lanjut diteruskan untuk mengenalpasti penglibatan suspek bagi lain-lain kes di dalam daerah Ampang dan daerah luar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Farouk berkata, orang ramai yang pernah menjadi mangsa kepada modus operandi itu diminta tampil untuk membuat laporan polis untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A (1) dan 511 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Selasa, tular rakaman video berdurasi 41 saat yang memaparkan dua suspek cuba mencuri tabung ekzos kenderaan di kawasan parkir sebuah hotel di sini.

Salah seorang daripada suspek memberi alasan kononnya sedang membaik pulih kenderaan tersebut, sebelum mereka melarikan diri setelah menyedari aktiviti jenayah mereka dirakam oleh orang awam.