X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

Dua beradik pamer aksi drift, bergelut di PPV ditahan

Tangkap layar menerusi video tular di media sosial tentang pergelutan di PPV UniSHAMS pada Selasa.
A
A

KUALA KETIL - Dua beradik tiri ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) pada Selasa.

Kejadian turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 1 minit 2 saat menunjukkan seorang lelaki telah mengeluarkan sebatang besi pemukul golf dari dalam kereta sebelum melipas ke arah orang ramai.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, kedua-duanya yang berusia 19 dan 27 tahun itu dikatakan telah menimbulkan pergaduhan di pekarangan PPV dengan orang awam.

Menurutnya, dalam kejadian 11.45 pagi, suspek telah datang ke PPV dengan menimbulkan kekacauan dan memandu secara melulu serta mempamerkan aksi drift.

"Pergaduhan disyaki berlaku apabila suspek ditegur namun tidak berpuas hati sebelum menimbulkan provokasi.

"Pergaduhan turut berlaku antara suspek dan orang awam di mana salah seorang suspek telah mengeluarkan besi pemukul golf dan membuat ugutan jenayah kepada seorang lelaki yang terlibat untuk meleraikan pergaduhan," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pergaduhan telah dileraikan dengan kehadiran anggota polis yang bertugas di PPV bersama orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Beliau berkata, seorang suspek telah ditahan di tempat letak kereta PPV dengan sebatang besi pemukul golf dirampas.

"Seorang lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Ladang Kupang, Baling pada jam 2.40 petang bersama sebuah kereta jenis Proton Saga turut dirampas," katanya.

Kamarulzaman berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam pergaduhan di PPV dan memandu secara merbahaya.

"Salah seorang suspek telah mengaku mengambil besi pemukul golf dari kereta untuk dijadikan senjata untuk menakutkan dan melibaskan ke arah orang ramai, dia juga mengaku dalam keadaan mabuk semasa kejadian,"katanya.

Beliau menjelaskan, motif kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar, Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Merbahaya dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!