MSN pernah tawar kerja kepada Mohd Raduan tetapi ditolak

MSNpernah menawarkan jawatan kepada bekas atlet olahraga para kebangsaan, Mohd Raduan Emeari yang tular dalam media sosial kerana bekerja di stesen minyak, namun ditolak bekas atlet itu. - Foto Bernama
MSNpernah menawarkan jawatan kepada bekas atlet olahraga para kebangsaan, Mohd Raduan Emeari yang tular dalam media sosial kerana bekerja di stesen minyak, namun ditolak bekas atlet itu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negara (MSN) pernah menawarkan jawatan kepada bekas atlet olahraga para kebangsaan, Mohd Raduan Emeari yang tular dalam media sosial kerana bekerja di stesen minyak, namun ditolak bekas atlet itu.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, tawaran kerja di MSN untuk membantu skuad negara, ditolak oleh bekas atlet pecut yang pernah beraksi di Sukan Paralimpik, Beijing 2008 itu atas alasan komitmen kepada keluarganya.

Menurut Ahmad Shapawi, setelah digugurkan daripada Program Podium pada penghujung 2017, Mohd Raduan juga tidak menyertai mana-mana kejohanan kerana ingin memberi fokus kepada keluarganya, memandangkan beliau mempunyai isteri dan seorang anak.

“Namun, beliau telah dilantik sebagai penggerak sukan olahraga para bermula pada 2020 hingga kini dengan bayaran sebanyak RM350 setiap bulan bagi membantu MSN mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan itu di Selangor,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Ahmad Shapawi berkata, Mohd Raduan mula terlibat dalam program MSN secara separuh masa pada 2007 dengan kadar elaun bulanan sebanyak RM500, sebelum diserap sebagai atlet sepenuh masa bermula 2009 dengan elaun antara RM1,500 hingga RM2,500 sebulan bergantung kepada pencapaian prestasi semasa di temasya sukan hingga 2015.

“Bermula 2016, Mohd Raduan telah ditawarkan kemasukan ke Program Podium di bawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) dengan elaun berjumlah RM4,500 sebulan sehingga beliau tidak lagi berada dalam program atas faktor prestasi pada hujung 2017,” katanya.

Tular menerusi media sosial sebelum ini mengenai Mohd Raduan yang bekerja di sebuah stesen minyak di Kuala Selangor, yang turut mempersoalkan ketiadaan insentif penghargaan atau kerja untuk meneruskan kehidupan atlet selepas bersara.

Bekas pelari pecut berusia 39 tahun itu pernah mewakili negara di temasya Sukan Para ASEAN (APG) Filipina 2005, Korat 2007, Solo 2011, Naypyitaw 2013, Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017 telah menyumbangkan lima pingat emas.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga pernah beraksi di Sukan Para Asia Guangzhou 2010 dan Incheon 2014, selain Paralimpik Beijing 2008.

Menurut Ahmad Shapawi lagi, pihak MSN juga bekerjasama rapat dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk berjumpa dengan bekas-bekas atlet bagi sebarang bantuan yang ingin dipohon dalam lingkungan kemampuan MSN.

“Pihak YAKEB juga telah berjumpa dengan beliau semalam bagi menawarkan kursus asas perniagaan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan pihak YAKEB akan membantu sekiranya Mohd Raduan berminat untuk memulakan perniagaan.

“Pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN melalui pihak YAKEB akan terus bersikap positif membuka ruang dan peluang terbaik yang boleh kami ketengahkan bersama pihak berkepentingan yang lain bagi terus membantu bekas-bekas atlet negara untuk meneruskan kelangsungan hidup setelah bersara daripada menjadi atlet negara,” katanya. - Bernama