Hakim Danish tak sangka dua kali muncul juara

Hakim Danish (tengah) bersama Zulfahmi (kanan) pada perlumbaan berkenaan. - Foto FB SIC
Hakim Danish (tengah) bersama Zulfahmi (kanan) pada perlumbaan berkenaan. - Foto FB SIC
A
A
A

PELUMBA cilik, Hakim Danish Ramli, 14 tidak menyangka muncul juara sebanyak dua kali pada perlumbaan Ohvale Coppa Itallia di Litar Pompasa, pada Ahad.

Menurut pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu, dia juga bangga apabila turut mencatat rekod bagi pusingan terpantas (fastest lap) pada perlumbaan berkenaan.

Katanya, biarpun menyertai perlumbaan berkenaan atas tiket wildcard, namun dia masih mampu mempamerkan aksi bertenaga pada kedua-dua perlumbaan berkenaan bagi mengesahkan kejuaraan.

“Saya sungguh gembira dengan kemenangan ini. Saya juga gembira berpeluang berlumba di Coppa Italia dan bersaing dengan pelumba-pelumba dari Itali.

“Mereka (pelumba Itali) juga sangat baik dan saya gembira dapat berkawan dengan mereka dan saya akan gunakan peluang ini sebaiknya untuk menimba pengalaman berharga,” katanya selepas perlumbaan berkenaan.

Hakim Danish muncul juara bagi dua perlumbaan melibatkan perlumbaan pertama dan perlumbaan kedua bagi kategori GP-2, Junior.

Pelumba berusia 14 tahun itu tidak mensia-siakan peluang yang terhidang apabila mudah menawan Litar Pomposa, Itali untuk muncul juara Perlumbaan Pertama dan Kedua kategori GP-2 Junior.

Untuk rekod, Hakim Danish turut melakar kejutan pada perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) dan European Talent Cup (ETC) di Barcelona-Catalunya tahun ini, apabila meraih tiga podium apabila menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketiga dan sekali gus berada pada kedudukan keempat secara keseluruhannya dengan 57 mata, musim ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus SIC Racing yang juga bekas pelumba MotoGP negara, Zulfahmi Khairuddin menegaskan dia tidak terkejut dengan kejayaan Hakim Danish pada perlumbaan berkenaan.

Katanya, dia memang mengakui Hakim Danish sememangnya seorang pelumba yang berbakat dan mampu melakar lebih banyak kejayaan selepas ini.

“Seperti yang kita tahu, Hakim Danish adalah pelumba baharu, malah dia juga tidak banyak me-rungut dan akan buat terbaik bila diberikan jentera.

“Oleh itu, apa yang saya nampak pelumba berusia 14 tahun ini mempunyai bakat untuk bergelar juara dunia satu hari nanti,” tegasnya.