Hujan, banjir landa negara akibat 'monsoon break'

Negara dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada sebelah petang dan menjelang malam khususnya di negeri-negeri Pantai Barat. Gambar hiasan
Negara dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada sebelah petang dan menjelang malam khususnya di negeri-negeri Pantai Barat. Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Keadaan hujan dan banjir di beberapa kawasan ketika ini disebabkan negara sedang mengalami tempoh Monsun Barat Daya yang melemah (monsoon break), kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku apabila terdapat perubahan tiupan angin memasuki kawasan negara, sekali gus menggalakkan pembentukan awan aktif dan menyebabkan keadaan cuaca lembap.

“Lazimnya, pada tempoh Monsun Barat Daya keadaan lebih kering dan berjerebu dengan negara mengalami hujan bulanan minimum, biasanya antara 100 dan 150 milimeter serta atmosfera yang stabil di kawasan Khatulistiwa.

“Bagaimanapun, fenomena garis badai (squall line) yang boleh terjadi semasa Monsun Barat Daya menyebabkan cuaca hujan lebat dan angin kencang berserta petir pada awal pagi terutama di kawasan pantai barat Semenanjung dan barat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Shelf of Sustenance (SOS) Met Malaysia iaitu bantuan keperluan asas kepada petugas yang memerlukan di ibu pejabat jabatan berkenaan di sini pada Selasa.

Muhammad Helmi bagaimanapun berkata, keadaan hujan itu semakin berkurangan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata, negara dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada sebelah petang dan menjelang malam ketika fasa Peralihan Monsun pada Oktober ini, khususnya di negeri-negeri Pantai Barat.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil maklum amaran cuaca di tempat masing-masing kerana lazimnya berlaku keadaan banjir kilat dan insiden pokok tumbang semasa tempoh itu.

Artikel Berkaitan:

Mengenai jangkaan situasi banjir di negeri Pantai Timur semasa Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh, beliau berkata MetMalaysia hanya boleh meramalkan keadaan itu dalam tempoh satu hingga dua hari sebelum sebarang fenomena cuaca berlaku. - Bernama