Peniaga diberi seminggu selaras harga kit ujian kendiri Covid-19

Adnan (kiri) membuat pemantauan dan pemeriksaan harga kit ujian kendiri Covid-19 di KB Mall, Kota Bharu pada Selasa.
Adnan (kiri) membuat pemantauan dan pemeriksaan harga kit ujian kendiri Covid-19 di KB Mall, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan memberi tempoh seminggu kepada semua peniaga di negeri ini untuk menyelaraskan jualan kit ujian kendiri Covid-19 pada harga siling RM19.90.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, sekiranya ada peniaga yang bertindak menjual kit ujian itu melebihi harga siling, tindakan tegas akan terus diambil menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"KPDNHEP Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang melanggar peraturan ini kerana harga siling itu telah diwartakan oleh kerajaan pada Ahad lalu," katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan dan pemeriksaan harga kit ujian kendiri Covid-19 di KB Mall di sini pada Selasa.

Beliau turut menjalankan Op Samar bagi meninjau aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam masyarakat terus dipatuhi dengan sebaik mungkin bagi mencegah rantaian pandemik Covid-19.

Menurutnya, pewartaan itu bagi membolehkan pengguna mendapatkan kit tersebut pada harga yang lebih mudah untuk kegunaan sendiri dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan.

Beliau berkata, menerusi wartaan itu kerajaan telah menetapkan kit ujian itu dijual pada harga RM16 untuk belian secara borong.

Adnan berkata, bermula 15 Ogos hingga Isnin lalu, KPDNHEP Kelantan menjalankan 204 pemeriksaan berkait dengan kit ujian kendiri Covid-19 di seluruh negeri.

"Sepanjang pemeriksaan itu, kita dapati tiada sebarang pelanggaran harga telah dikesan berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, KPDNHEP Kelantan menasihatkan pengguna supaya terus membuat laporan kepada pihak kami menerusi e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my atau menghubungi talian 1-800-886-800.

"Bukan itu sahaja, mereka juga boleh mengemukakan aduan menerusi aplikasi telefon pintar iaitu Ez ADU KPDNHEP dan WhatsApp (019-2794317) atau hadir ke pejabat KPDNHEP Kelantan serta cawangan di Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang," katanya.