BKC bantu rakyat hilang punca pendapatan

Siti Nurshawani penerima Bantuan Pesakit Kronik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelatan.
Siti Nurshawani penerima Bantuan Pesakit Kronik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelatan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pesakit buah pinggang kronik yang hilang punca pendapatan sebagai pengasuh kesan Covid-19 antara penerima Bantuan Khas Covid-19 (BKC) fasa pertama di seluruh negara pada Isnin.

Siti Nurshawani Mohd Azman, 21, berkata, wang BKC berjumlah RM500 berkenaan akan dimanfaatkan untuk membeli keperluan harian termasuk barangan dapur.

Katanya, kehidupan bertambah perit apabila suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah juga berpendapatan tidak menentu sepanjang pandemik Covid-19.

“Saya bersyukur menerima bantuan ini kerana pendapatan kami suami isteri turut terjejas.

“Saya juga akan menggunakan duit ini untuk tujuan rawatan sakit buah pinggang kronik yang dihidapi sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Kota Bharu di Pintu Pong di sini pada Isnin.

Menurut Siti Nurshawani, dia juga penerima Bantuan Pesakit Kronik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelatan berjumlah RM250 setiap bulanan.

“BKC bukan sahaja membantu golongan B40 tetapi juga meringankan bebanan pesakit kronik seperti saya.

“Sebagai warga Malaysia, saya amat menghargai usaha kerajaan yang sentiasa membantu rakyat ketika dalam kesukaran berdepan situasi Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, nelayan, Rosdi Hassan, 38, berkata, BKC tiba tepat pada masanya apabila pendapatannya terjejas kerana perlu menjalani kuarantin kendiri akibat kontak rapat kepada pesakit positif Covid-19 tiga minggu lalu.

Rosdi menunjukkan wang BKC yang diperoleh akan digunakan untuk menampung keperluan keluarganya
Rosdi menunjukkan wang BKC yang diperoleh akan digunakan untuk menampung keperluan keluarganya

Menurutnya, turut sama dikuarantin ialah isteri dan tiga anak mereka yang masih kecil berusia antara empat hingga 12 tahun.

“Kami menjalani tempoh kuarantin kendiri selama 10 hari menyebabkan saya tidak dapat ke laut manakala isteri pula tidak bekerja.

“Kami sangat berjimat cermat dalam keadaan ini dan amat bersyukur serta berterima kasih kepada kerajaan apabila terpilih menerima rezeki BKC,” katanya.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan BKC akan dibayar secara berperingkat bermula fasa pertama pada Isnin.

Pengkreditan BKC dijangka selesai pada 10 September ini dengan dana berjumlah RM3.1 bilion yang disalurkan kepada rakyat yang layak.