SEDANIA, Pos Malaysia raih kontrak enam tahun

No Image Caption
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SEDANIA Innovator Berhad (Sedania) melalui anak syarikatnya Sedania Technologies Sdn Bhd meraih kontrak enam tahun daripada Pos Malaysia bagi pengurangan penggunaan tenaga melalui konsep simpanan bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania, Daniel Ruppert berkata, syarikat akan menawarkan perkhidmatan teknologinya melalui rangka kerja 'energy performance contract' (EPC) atau kontrak prestasi tenaga yang membolehkan organisasi meneruskan objektif persekitaran, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) mereka dengan mengurangkan penggunaan tenaga pada asas sifar.

“Dengan kontrak enam tahun ini, ia menandakan permulaan syarikat di dalam sektor rangkaian bekalan yang telah menunjukkan pertumbuhan besar dalam tempoh 18 bulan lalu berikutan peningkatan jumlah membeli-belah dalam talian.

“Berdasarkan laporan sebelum ini, Pos Malaysia melalui Pos Laju SendParcel telah menyempurnakan servis penghantaran dengan lebih 6.7 juta bungkusan jumlah keseluruhan dan menjana pendapatan sebanyak RM45.5 juta pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Perkhidmatan Greentech Solutions Sedania ditawarkan kepada sektor perbankan dan telekomunikasi.

Daniel menambah, usaha terbaru ini merupakan satu titik penting bagi Sedania setelah syarikat itu memperluaskan sektor Greentech Solutions ke industri logistik dan rantaian bekalan iaitu sebuah industri dengan beribu pusat pemprosesan dan cawangan di seluruh Malaysia.

Menurutnya, fasa pertama merangkumi pelan kecekapan dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui di lapan tapak Pos Malaysia terpilih di Lembah Klang yang dijadualkan bermula tahun ini serta dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan.

“Saya memuji inisiatif dilakukan oleh Pos Malaysia dalam usaha mencapai kelestarian tenaga walaupun dalam keadaan sekarang yang sangat mencabar.

Artikel Berkaitan:

“Kami amat teruja untuk membantu Pos Malaysia dalam mengurangkan kos operasinya dan mencapai matlamat kemampanan tenaga. Model ditawarkan kami adalah ideal kerana ia tidak mengganggu bidang operasi atau kewangan.

“Oleh itu, kami menggalakkan organisasi lain untuk turut sama melaksanakan agenda hijau hari ini secepat mungkin,” katanya.