China bakal haramkan 'lelaki cantik' di televisyen

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

BADAN penyelaras penyiaran China memaklumkan akan melarang sebarang bentuk estetika effeminate dalam rancangan hiburan dan sebarang 'pengaruh lucah dan kata-kata kesat' juga dielakkan.

Effeminate, secara literal membawa maksud pembawaan karakter seakan-akan wanita oleh lelaki.

Ia sebahagian daripada prosedur dan peraturan baharu yang berkaitan apa yang digambarkan sebagai kandungan tidak sihat dalam program hiburan, lapor BBC.

Pentadbiran Radio dan Televisyen Nasional (NRTA) menegaskan tingkah laku dan moral harus dimasukkan sebagai kriteria dalam pemilihan pelakon.

Beberapa format persembahan pertandingan pencarian bakat juga juga akan dihentikan.

Pihak berkuasa bertekad akan mempromosikan apa yang ditakrifkan sebagai lelaki yang lebih maskulin dan mengkritik selebriti lelaki yang menggunakan solekan tebal.

Namun program yang mempromosikan budaya tradisional, revolusi atau memupuk suasana patriotik, akan digalakkan.

Presiden Xi Jinping sebelum ini berjanji untuk menjadikan China sebuah negara yang lebih hebat dengan pelbagai pembaharuan di peringkat nasional, termasuk pengawasan ketat terhadap sektor perniagaan, pendidikan, budaya dan agama di negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, kawalan itu adalah sebagai mempertahankan masyarakatnya daripada terpengaruh dengan penggayaan lelaki yang berpenampilan tidak maskulin.

Memetik laporan Associated Press, Xi berbuat demikian kerana imej feminin itu seolah-olah memberi ancaman terhadap nilai budaya tradisional dan ia selaras dengan visinya untuk menjadikan rakyat China lebih kuat dan sihat.

Xi turut memperketat akses terhadap penggunaan internet di China.

Baru-baru ini pihak pemerintahannya turut mengurangkan akses kepada kanak-kanak terhadap penggunaan permainan dalam talian.

Pihak penyedia permainan dalam talian menetapkan supaya individu berusia di bawah 18 tahun hanya dibenarkan bermain permainan dalam talian selama satu jam pada setiap Jumaat, hujung minggu dan cuti persekolahan.

Langkah yang hanya membenarkan kanak-kanak mempunyai akses dengan permainan dari jam 8 hingga 9 malam itu bagi mengatasi kebimbangan masyarakat mengenai kesan berbahaya kepada golongan tersebut.

China juga telah melancarkan tindakan anti-monopoli, keselamatan data dan tindakan penguatkuasaan lain terhadap syarikat permainan dan penyedia media sosial Tencent Holding dan gergasi e-dagang Alibaba Group. - Awani