'Dia adalah kawan, abang dan ayah kepada saya'

Muhammad Ziyad (kiri) bersama jurulatihnya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.
Muhammad Ziyad (kiri) bersama jurulatihnya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.
A
A
A

JAGUH lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tampil mempertahankan jurulatihnya, Mohd Faizol Harun selepas insiden pembatalan pingat emas pada Temasya Olimpik Tokyo 2020 pada Selasa lalu.

Menurut Ziyad, Mohd Faizol telah banyak berkorban dan menjadi individu sangat penting untuk membawanya menjadi seorang atlet yang berjaya di pentas antarabangsa.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada coach saya @pejoeharun. Dia adalah orang yang memimpin tangan saya untuk belajar bertatih sehingga saya boleh berlari ke hadapan dan sehingga hari ini masih setia bersama saya.

“Sekiranya orang di luar sana nampak saya berdiri di hadapan sekarang percayalah dia setia di belakang saya. andai orang di luar sana fikir saya berkorban bertahun-tahun untuk capai kejayaan pada kali ini, dia juga berkorban lebih daripada saya.

“Kalau orang di luar tak sanggup melihat kegagalan saya, apatah lagi dia adalah orang yang paling sedih dan kecewa. Dia lakukan apa sahaja untuk saya.

“Dia adalah kawan, abang, dan ayah kepada saya sepanjang karier saya melebihi 11 tahun dalam arena sukan. Dia yang menjadikan saya di mana saya berada sekarang. Tak mungkin saya boleh berdiri dengan sendiri. Terima kasih coach,” tulisnya dalam Facebook rasmi miliknya pada Sabtu.

Pada Selasa, negara digemparkan dengan pembatalan emas milik Ziyad selepas atlet itu diprotes oleh kem Ukraine susulan dakwaan tiba lewat di pusat panggilan (Call Room) sebelum acara bermula.

Mohd Faizol dalam sidang media sejurus tiba dari Tokyo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengaku bertanggungjawab di atas insiden tersebut yang menjadi punca emas Ziyad ditarik balik.

Artikel Berkaitan:

Namun, pengakuannya itu tidak sepenuhnya diterima oleh peminat dengan ada yang terus mengecam Mohd Faizol dan mahu jurulatih Ziyad itu dikenakan tindakan tegas.

Dalam pada itu, Isteri Ziyad, Zafira Nasir turut mempertahankan Mohd Faizal yang sudah melatih suaminya lebih 11 tahun hingga mampu meraih pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik Rio 2016.

“Di sebalik kejayaan seorang atlet, ada seorang jurulatih di belakangnya yang sentiasa ada dan sanggup berkorban apa sahaja demi meraih kejayaan untuk anak didiknya. Segala perih, segala lelah yang diperah hanya untuk anak didiknya mendapat pulangan selepas berhempas pulas demi sebuah kejayaan.

“Begitu juga dengan kejayaan Ziyad. Di belakangnya ada seorang jurulatih yang sanggup berkorban apa sahaja demi Ziyad mencapai kejayaan. Dengan hasil didikan serta tunjuk ajar jurulatih, Alhamdulillah Ziyad mampu berada di mata dunia. Banyak kejayaan dan kebanggaan sudah dikecapi.

“Hampir 11 tahun mereka bersama, mengharungi perit getir suka duka demi meraih sebuah kejayaan. Pembatalan emas Ziyad di Tokyo tidak akan menjadi sebab untuk kami lupakan jasa dan pengorbanan jurulatih bagi kejayaan sebelum ini. Pengorbanan jurulatih terlalu besar kerana sanggup berkorban masa, keluarga dan segala-galanya untuk Ziyad.

“Terima kasih coach @pejoeharun untuk segala-galanya. Terima kasih juga untuk @fairuz_hanisah (isteri Faizal, Fairuz Hanisah Che Ibrahim yang juga bekas atlet memanah negara) yang sama-sama berkorban, sentiasa memberi sokongan dan amat memahami semoga kita sama-sama kuat untuk menghadapi situasi yang sukar. Selalu ada pelangi selepas hujan kan kak @fairuz_hanisah,” tulis Zafira.