Kar Gee bangga beraksi di Paralimpik

Kar Gee mengalami kecederaan akibat papan lompatan licin.
Kar Gee mengalami kecederaan akibat papan lompatan licin.
A
A
A

BIARPUN kecewa kerana terpaksa menarik diri daripada acara lompat jauh kategori T13 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 kerana cedera, namun atlet lompat jauh para negara, Wong Kar Gee tetap berbangga dapat beraksi di temasya Paralimpik kali ini.

Kar Gee gembira kerana masih mampu melakukan lompatan pada acara berkenaan walaupun bertukar kategori daripada T12 kepada T13, sebelum berlepas ke Tokyo.

“Bagi saya, saya dah cuba buat yang terbaik tetapi tidak mencapai tahap yang dikehendaki kali ini. Lagipun, kategori sebenar saya adala T12 tetapi sebelum berlepas ke Tokyo saya telah diminta untuk beraksi dalam kategori T13.

“Papan lompatan bagi T13 adalah jauh lebih kecil berbanding T12 dan sebab itulah lompatan pertama dan kedua saya dibatalkan.

“Pada lompatan keempat pula papan lompatan berkenaan agak licin akibat hujan dan menyebabkan saya mengalami kecederaan, dan terpaksa menarik diri pada lompatan kelima,” katanya.

Untuk rekod, Kar Gee tidak dapat meneruskan aksi dalam kateogri T13 berkenaan hingga terpaksa menarik diri pada lompatan kelima, pada Sabtu.

Kar Gee gagal pada lompatan pertama, kedua dan keempat, manakala pada lompatan ketiga Kar Gee berjaya melakukan lompatan sejauh 5.93 meter dan dijadikan sebagai catatan peribadi terbaiknya pada temasya Paralimpik kali ini.

Emas bagi acara berkenaan dimenangi atlet Azerbaijan, Orkhan Aslanov dengan catatan 7.36 meter manakala pingat perak dimenangi Ivan Jose Cano Blanco (Sepanyol) yang mencatatkan 7.04 meter dan Isaac Jean-Paul dari Amerika Syarikat (AS) meraih gangsa dengan catatan 6.93 meter.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Kar Gee berkata, dia menegaskan keputusannya menarik diri disebabkan dia berasa tidak selesa untuk meneruskan acara berkenaan.

“Selepas cedera, saya rasa tak selesa untuk teruskan lompatan saya. Jadi, saya ambil keputusan untuk berhenti.

“Memang saya rasa sedikit kecewa, tetapi secara keseluruhannya saya berbangga kerana dapat datang ke Sukan Paralimpik kali ini dan gembira dengan sokongan daripada keluarga saya,” katanya.