X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Dua warga asing beli rempah sebelum pukau

Tangkap layar rakaman CCTV yang tular kejadian curi wang di sebuah kedai runcit di Kampar dipercayai akibat perbuatan pukau.
A
A

KAMPAR - Sebuah kedai runcit mengalami kerugian RM1,380 dalam kejadian curi wang dipercayai akibat pukau di bangunan rumah kedai Jalan Iskandar di sini pada Khamis lepas.

Kejadian sekitar jam 4.48 petang itu dipercayai dilakukan seorang lelaki dan wanita warga asing yang datang ke kedai kononnya untuk membeli rempah.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, semasa membuat bayaran di kaunter, lelaki terbabit dikesan telah mengambil sendiri beberapa keping RM50 dan RM100 yang berada dalam peti wang sebelum memasukkan ke dalam poket seluar.

Menurutnya, perbuatan lelaki itu telah dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) memperlihatkan suspek melakukan perbuatan sama beberapa kali tanpa disedari juruwang.

Hasron Nazri
Hasron Nazri

"Juruwang wanita berusia 20 tahun itu mengesyaki telah dipukau oleh lelaki tersebut kerana tidak menyedari kejadian terbabit.

"Dia hanya menyedari kejadian selepas membuat kiraan semula wang dalam peti dan mendapati wang berkenaan berkurangan dari sebelumnya," katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.

Rakaman CCTV berdurasi 1 minit 47 saat itu turut tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki dan wanita memakai topeng mulut dan hidung masuk ke premis untuk membeli dua bungkus rempah sebelum ke kaunter untuk membuat pembayaran.

Dalam video itu, dapat dilihat semasa mengira, suspek mengambil sendiri wang dalam peti telah melipat wang di bahagian tangan kirinya dan memasukkan ke dalam poket seluarnya.

Hasron Nazri berkata, semasa kejadian, juruwang tersebut bekerja seorang diri di kaunter dan seorang lagi pekerja berada di bahagian belakang stor.

"Laporan polis telah dibuat oleh juruwang berkenaan pada 2 September lepas membabitkan jumlah kerugian dianggarkan RM1,380.

"Siasatan lanjut akan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!