Bayi 16 bulan disyaki mangsa dera ibu dan bapa tiri

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

TAMPIN - Polis menahan sepasang suami isteri yang dipercayai mendera seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan di sebuah Felda di sini pada 25 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, penahanan itu melibatkan ayah tiri mangsa berusia 23 tahun dan ibunya berusia 17 tahun sebaik polis menerima laporan kejadian daripada seorang pegawai perubatan di sebuah klinik.

"Pegawai perubatan itu datang ke Balai Polis memaklumkan menerima seorang pesakit iaitu bayi lelaki berusia setahun empat bulan dalam keadaan lebam pada mata dan terdapat kesan seterika pada belakang badan yang disyaki telah didera.

"Hasil siasatan mendapati, ayah tirinya mengaku memukul mangsa kerana mangsa menangis dan menyebabkan suspek menjadi bengang dan bertindak menumbuk muka dan memukul mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Jelas Anuwal, suspek turut mengaku mencucuh puntung rokok pada telapak kaki mangsa sebelah kiri.

"Pasangan itu membawa mangsa ke klinik tersebut selepas mangsa mengalami sesak nafas sebelum dipindahkan ke sebuah hospital untuk rawatan lanjut dan diberikan bantuan oksigen.

"Suspek kini masih ditahan reman manakala ibu mangsa sudah dibebaskan dengan jaminan polis manakala bayi berkenaan masih dirawat di hospital, namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Anuwal berkata, semakan terhadap ayah tiri mangsa juga mendapati dia mempunyai rekod lampau bersabit penyalahgunaan dadah.