Saya bertanggungjawab atas semua yang berlaku, kata jurulatih Ziyad

Ziyad (kiri) dan Faizul ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Jumaat.
Ziyad (kiri) dan Faizul ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Jumaat.
A
A
A

[DIKEMASKINI] "SAYA bertanggungjawab atas semua yang berlaku," kata jurulatih kepada jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkepli.

Faizul Haron berkata, sebagai orang yang rapat dan bersama Ziyad ketika acara di Sukan Olimpik Tokyo 2020, beliau tidak mahu menuding jari kepada pihak lain atas pembatalan kemenangan atletnya pada Selasa lalu.

"Saya mohon kepada semua pihak yang mencari siapa bersalah, siapa yang tidak bersalah, saya selaku kepada jurulatih ziyad, orang yang dekat dengan ziyad, saya bertanggungjawab atas semua yang berlaku.

"Jangan menuding jari kepada orang lain," katanya ketika ditemui pemberita semasa ketibaan pulang empat atlet paralimpik negara di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Faizul berkata, beliau tidak menganggap perkara tersebut terjadi disebabkan isu sabotaj daripada pihak lawan tetapi sebaliknya kerana sedikit kesilapan teknikal.

Menurutnya, mereka pada asalnya tiba awal, kira-kira jam 5.55 petang iaitu 10 minit sebelum acara bermula namun ditahan dan tidak dibenarkan masuk ketika hampir berada di 'call room'.

"Kami sampai awal dekat trek, dalam jam 4.15 petang. Bila kita dah sampai, Ziyad 'warm up' dari jam 4.45 petang sampai jam 5.30 petang.

"Dalam proses dari jam 5.30 ke 5.45 petang, kita 'prepare' untuk Ziyad, kita urut sikit sebab Ziyad kata ada rasa tegang otot.

Artikel Berkaitan:

"Jam 5.45 petang, kita bergerak dari trek ke 'call room'. Kita dah buat kiraan kalau dari trek, lebih kurang 8 ke 10 minit. Kalau jalan laju, dalam 5 ke 6 minit," ujarnya.

Faizul berkata, mereka sampai di 'call room', pada jam 5.55 petang.

"Bila sampai 'call room', kita tak bergegas pun, kita jalan biasa, saya bagi nasihat dan semangat kepada Ziyad.

"Depan kita ada atlet Greece, dia sampai dan boleh masuk dan kami ditahan. Kami tengok masa, jam 5.55 petang. Bila ditahan, kita rayu untuk masuk, dia (pegawai pertandingan) suruh tunggu," katanya.

Jelas beliau, pada ketika itu juga terdapat jurulatih Ukraine berhampiran pegawai bertugas.

"Selepas itu, atlet Australia dan Ecuador ada di belakang, mereka minta masuk. Pada masa sama, pembantu pengadil panggil atlet lompat tinggi masuk.

"Masa itu kita rayu lagi untuk masuk tapi pegawai kata 'Sorry, you are late'."

"Dia tunjuk jam dah 5.56 petang. Saya lihat masa itu peserta kategori Ziyad ada di 'call room 1', tidak bergerak lagi ke 'call room 2', katanya.

Faizul berkata, permintaan mereka untuk masuk ke 'call room' apabila pagar sudah ditutup menyebabkan jurualtih Ukraine melakukan provikasi kepada pembantu pengadil.

"Dia kata kalau benarkan Ziyad masuk, dia akan protes. Lepas bercakap dengan ketua pengadil, Ziyad dibenarkan masuk," ujarnya.

Jelas Faizul, beliau terus masuk ke stadium sejurus selepas Ziyad dibenarkan masuk ke 'call room'.

"Saya tidak tahu apa-apa (berkaitan penyertaan dibatalkan). Selepas lontaran ketiga, saya dimaklumkan pegawai yang Ziyad DNS (Did Not Start)," jelasnya.