Lagi pencemaran bau sumber air mentah dikesan

LUAS menerima laporan pencemaran bau di Stesen Pengawasan Sungai Kampung Sungai Buah, Dengkil, Sepang pada Jumaat. - Gambar hiasan
LUAS menerima laporan pencemaran bau di Stesen Pengawasan Sungai Kampung Sungai Buah, Dengkil, Sepang pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan pencemaran bau yang dikesan di Stesen Pengawasan Sungai Kampung Sungai Buah, Dengkil, Sepang pada jam 4 petang Jumaat.

Menerusi kemas kini di laman Facebook, LUAS berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berhubung pencemaran berkenaan yang dikesan pada tahap 2 ton.

"LUAS, Air Selangor dan pihak terlibat sedang menjalankan siasatan dan tindakan-tindakan mitigasi segera.

"Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke masa," katanya.

Pada Selasa lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih juga terpaksa dihentikan tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran bau pada sumber air mentah di Muka Sauk Jenderam Hilir.

Berikutan itu, sebanyak 323,623 akaun di lima wilayah di Selangor mengalami gangguan bekalan air berikutan henti tugas LRA berkenaan.

Pengguna di semua kawasan terjejas mula menerima bekalan air bersih secara berperingkat pada jam 7 pagi Rabu.

-

Artikel Berkaitan: