Kutipan hasil Negeri Sembilan meningkat

Tuanku Muhriz semasa bertitah di pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, pada Jumaat.
Tuanku Muhriz semasa bertitah di pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berbangga dengan komitmen kerajaan negeri yang berjaya memperolehi kutipan hasil sebanyak RM448 juta pada tahun 2020.

Baginda bertitah, pada tahun lalu prestasi ekonomi bagi semua negeri telah mencatatkan pertumbuhan negatif.

Namun begitu, Negeri Sembilan adalah antara lapan negeri yang merekodkan kadar pertumbuhan yang lebih baik, iaitu susut 3.6 peratus berbanding penyusutan 5.6 peratus di peringkat nasional.

“Sekalung tahniah diucapkan kepada kerajaan Beta kerana berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM447.88 juta pada tahun 2020, walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Kerajaan Beta terus berusaha mengutip hasil ke paras yang membanggakan, iaitu 98 peratus. Hal ini membuktikan bahawa sasaran yang ditetapkan adalah realistik dan boleh dicapai," titah baginda.

Ahli dewan di pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, pada Jumaat.
Ahli dewan di pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, baginda turut berbangga apabila Negeri Sembilan mencatatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita iaitu RM43,859, melebihi paras nasional RM43,378.

Titah baginda, walaupun menghadapi persekitaran ekonomi yang mencabar termasuk situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), strategi dan intervensi yang dilaksanakan serta komitmen semua agensi pemungut hasil, ternyata amat berkesan, malah berjaya.

“Beta berharap agar segala perancangan untuk memajukan negeri dan memperkasa rakyat dapat terus dilaksanakan, melalui pelbagai inisiatif Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan.

"Di sebalik pertumbuhan ekonomi nasional yang perlahan, Alhamdulillah, pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan masih berupaya menarik sejumlah pelaburan yang amat membanggakan.

"Bagi tahun 2020, nilai pelaburan yang diluluskan oleh Malaysia Investment Development Authority (MIDA) adalah sebanyak RM7.93 bilion, berbanding RM6.96 bilion pada tahun 2019 (kenaikan 14 peratus), dan ia merupakan pencapaian tertinggi yang pernah dicatatkan," titah baginda.

Tambah baginda, daripada jumlah tersebut, RM6.4 billion atau 81 peratus adalah disumbangkan oleh sektor perkilangan, perkhidmatan terpilih dan utama.