Israel bebaskan Anhar al-Deek dari penjara

Anhar al-Deek. - Foto Islam Times
Anhar al-Deek. - Foto Islam Times
A
A
A

BAITULMAQDIS - Pihak berkuasa penjajah Israel pada Khamis akhirnya membebaskan seorang wanita Palestin, Anhar al-Deek yang hamil, dari penjara dan sebagai gantinya dia dikenakan tahanan rumah di kediaman keluarganya.

Anhar, 25, yang kini hamil sembilan bulan turut dikenakan jaminan sebanyak 40,000 shekel (RM51,790).

Wanita itu sebelum ini ditahan oleh pihak berkuasa keselamatan negara haram Israel di Tebing Barat kerana dituduh cuba menyerang penempatan haram Yahudi.

Dia kini sedang menunggu perbicaraan berhubung kes tersebut.

Perbicaraannya dijadualkan berlangsung pada Ahad selepas ditangguhkan sebelum ini.

Wanita tersebut meminta supaya dibenarkan melahirkan anaknya di luar sebuah penjara di Haifa kerana wanita tersebut mengalami masalah kesihatan yang memerlukan dia menjalani pembedahan untuk melahirkan anak itu.

Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin mengesahkan Anhar dibebaskan dari penjara kerana dia dijangka melahirkan anak dalam tempoh beberapa hari lagi.

Anhar dari sebuah bandar di Ramallah sudah berkahwin dan mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia kira-kira 20 bulan.

Artikel Berkaitan:

Pada minggu lalu, dia merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menekan Israel bagi membebas dan membenarkannya melahirkan anak di luar penjara rejim Zionis. - Agensi