Hospital di Gaza berisiko terputus bekalan elektrik akibat kehabisan minyak generator

ISTANBUL - Hospital di Semenanjung Gaza berdepan risiko terputus bekalan elektrik selepas kehabisan minyak yang diperlukan untuk mengendalikan generator, menurut Kementerian Kesihatan Palestin pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.
Kementerian itu memberi amaran bahawa kegagalan generator berfungsi boleh mengganggu perkhidmatan perubatan kritikal yang penting untuk menyelamatkan nyawa.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan bahawa generator yang masih berfungsi kini beroperasi dalam "keadaan kejuruteraan dan teknikal yang rumit serta berdepan risiko mengalami kerosakan mekanikal pada bila-bila masa dan kemerosotan prestasi.”
Kementerian itu memberi amaran bahawa pemberhentian operasi generator berkenaan akan mengganggu bekalan elektrik ke banyak jabatan dan unit penting yang menyediakan rawatan untuk menyelamatkan nyawa.
Menurut kementerian itu, hospital memerlukan lebih 2,500 liter minyak sebulan untuk mengendalikan generator elektrik mereka.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa pihaknya telah berulang kali memberi amaran bahawa penyelesaian kecemasan yang hanya menyediakan bekalan minyak dalam kuantiti terhad tidak akan membolehkan generator terus beroperasi untuk tempoh yang lebih lama, khususnya memandangkan tempoh operasi yang panjang serta keperluan penyelenggaraan segera.
Kementerian itu menggesa semua pihak berkaitan supaya "menunaikan tanggungjawab kemanusiaan mereka dan segera campur tangan bagi memastikan kemasukan bekalan minyak serta alat ganti yang diperlukan untuk memastikan generator terus beroperasi."
Sistem penjagaan kesihatan di Gaza terus bergelut dengan kerosakan meluas terhadap infrastruktur wilayah itu, selain pelanggaran gencatan senjata Gaza oleh Israel yang berterusan, dan telah mengorbankan lebih 1,500 orang sepanjang tahun lepas.
Secara keseluruhan, serangan Israel sejak Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan 175,000 yang lain, selain memusnahkan atau merosakkan kira-kira 90 peratus infrastruktur di wilayah itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
